JHS dan PGA berjaya rampas balak haram dan jentera bernilai RM105K di Kapit

Rampasan balak haram dan jentera bernilah RM105K telah berjaya dilakukan oleh JHS dan PGA

KAPIT, 17 Nov: Sepasukan penguatkuasa Jabatan Hutan Sarawak (JHS) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebuah jentolak, sebuah jengkaut dan 46 batang kayu balak haram pelbagai saiz dan jenis di kawasan Sungai Sut, Kapit pada 3 November 2020.

Rampasan bernilai RM105,000 tersebut dilakukan setelah mendapati aktiviti pembalakan itu dijalankan tanpa lesen.

“Semua kayu yang dirampas dianggarkan bernilai RM10,000 berdasar nilai royalti kayu balak dan mesin-mesin dianggarkan bernilai RM95,000. Kesemua barang kes seperti mesin dan kayu balak telah diletakkan dibawah jagaan JHS dan siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh jabatan tersebut,” jelas JHS dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

JHS berkata, selaras dengan fungsi dan tanggungjawab dalam menjaga dan memelihara hutan, ia akan mempergiat dan meningkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan hutan melalui operasi darat, sungai dan udara secara berterusan bagi membenteras segala aktiviti pembalakan haram di kawasan hutan Negeri Sarawak secara amnya.

“Ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 96, The Forests Ordinance 2015 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000.00 dan tidak melebihi RM150,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali dan sekiranya didapati bersalah melakukan kesalahan berulang akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM150,000.00 dan tidak melebihi RM500,000.00 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” kata JHS.

Tambah kenyataan itu, rampasan mesin dan kayu balak tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan secara berterusan oleh kakitangan penguatkuasa JHS bagi membanteras aktiviti pembalakan haram di kawasan Kapit.

“Tindakan keras di bawah peruntukkan The Forest Ordinance, 2015 akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau organisasi yang didapati bersalah menjalankan aktiviti pembalakan haram. Ini adalah untuk memastikan penjagaan dan pemeliharaan hutan negeri Sarawak dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya,” jelas JHS.

JHS juga menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai segala kegiatan pembalakan haram yang berlaku di mana-mana kawasan hutan negeri agar jabatan tersebut boleh mengambil tindakan terhadap pesalah.

Maklumat boleh disalurkan melalui talikhidmat Kerajaan Negeri Sarawak pada talian hotline 1-800-88-7777 atau email www.forestry.gov.my — DayakDaily