Bekas Panglima Komando VAT 69, Datuk Fisol Salleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu

Fisol (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas daripada Mohd Hairuddin (kiri) sambil disaksikan Adi (tengah).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 17 Nov: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu, DCP Datuk Fisol Salleh memulakan tugasnya berkuatkuasa semalam selepas mengambil alih jawatan tersebut dari SAC Mohd Hairuddin Che Hamid.

Majlis Serah Terima Tugas telah diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini disaksikan oleh Pesuruhjaya Sarawak, Datuk Aidi Ismail.


Fisol dalam ucapannya menyifatkan ia adalah tugas yang agak berat dan mencabar kerana Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia.

“Ini merupakan satu cabaran yang baharu dengan 34 daerah polis dan difahamkan ada lebih 27 etnik untuk dikendalikan.

“Saya akan memberi komitmen yang jitu dalam menjalankan tugas dan memohon kepada semua jabatan terutama ketua jabatan untuk memberi kerjasama dalam menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Panglima Komando VAT 69 selama lebih 10 tahun menekankan kerjasama yang tidak berbelah bagi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu-isu jenayah di Sarawak.

Datuk Fisol Salleh

Katanya, meskipun Pilihanraya Negeri (PRN) akan diadakan dalam masa terdekat dengan kontinjen baharu dilantik di Sarawak, misi dan visi PDRM tetap sama untuk menjadikan perkhidmatan polis berkelas dunia.

“Jika kita mahukan misi dan visi ini menjadi kenyataan, kita memerlukan kerjasama dan komitmen daripada semua orang terutama ketua-ketua jabatan, pegawai pengurus, ketua polis daerah dan pegawai-pegawai kanan.

“Mereka merupakan tulang belakang yang menggerakkan setiap tugas yang telah diamanahkan untuk kecemerlangan polis dan untuk memberikan perkhidmatan yang tulus kepada masyarakat di negeri Sarawak khususnya,” ujar beliau.

Pada majlis yang sama, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas diantara SAC Denis Leong dengan ACP Zulfikar Mohd Ghazali.

SAC Denis berpindah ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Narkotik digantikan dengan Zulfikar sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah. — DayakDaily