Jerebu, bekalan air kritikal melanda Lubok Antu perlu tindakan segera

Jugah Muyang

KUCHING, 24 Sept: Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang menggesa agar nasib penduduk Lubok Antu yang terjejas teruk mendapat perhatian dan diberikan bantuan segera oleh pihak yang berwajib.

Katanya, cuaca panas sejak beberapa minggu lalu memberi kesan kepada bekalan air di Lubok Antu.

“Paras air di Sungai Lemanak di Loji Skim Pembangunan Lemanak, Engkilili, yang menjadi sumber air di daerah itu surut ke tahap kritikal.


“Kita menggesa operasi pembenihan awan segera dilakukan di Lubok Antu untuk menurunkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sebelum keadaan lebih buruk.

“Keadaan ini seharusnya terkawal sebelum udara persekitaran turut terjejas teruk,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Paras air di Sungai Lemanak yang kritikal.

Berikutan itu, kata Jugah, seluruh kawasan di Lubok Antu mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah sejak beberapa hari lalu.

Tambah beliau lagi, kluster titik panas di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan berterusan melepaskan asap jerebu di mana memberi kesan jerebu di Sarawak.

Lubok Antu, tegas Jugah, adalah kawasan yang terdedah kepada asap jerebu tersebut.

“Kita amat risau dengan udara persekitaran yang dialami oleh penduduk Lubok Antu dan merasakan bahawa bacaan IPU itu lebih tinggi di Lubok Antu,” katanya.

Sri Aman merekodkan bacaan IPU pada tahap bahaya pada minggu lalu. Ia sekali gus meletakkan bahagian termasuk Daerah Lubok Antu itu dalam keadaan membimbangkan akibat jerebu rentas sempadan. — DayakDaily