Jerebu: 890 sekolah ditutup, lebih 250k pelajar terjejas

Keadaan jerebu di Daro.

KUCHING, Sept 19: Sebanyak 890 sekolah ditutup di negeri ini berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk apabila mencecah bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 200, iaitu sangat tidak sihat, awal hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak memberitahu penutupan sekolah setakat pukul 8 pagi ini melibatkan seramai 254,499 orang pelajar.

Kata jabatan, daripada jumlah itu, 765 adalah buah sekolah rendah, manakala selebihnya 125 buah sekolah menengah.


“Bahagian Kuching merekodkan jumlah pelajar tertinggi iaitu seramai 62,077 orang diikuti Padawan (45,659) dan Samarahan (30,096).

“Saratok pula seramai 13,142 orang, Serian (15,517), Betong (15,367), Bau (11,496), Simunjan (6,656), Sri Aman (9,411), Kanowit (4,115), Meradong (4,993), Sibu (13,583), Lubok Antu (4,689), Sarikei (5,377), Julau (4,055), Lundu (4,416) dan Daro (3,806), ” kata Jabatan Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan jerebu di Kuching.

Manakala, mengikut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Kuching mencatatkan IPU 269, pada paras sangat tidak sihat setakat pukul 6 pagi ini.

Seterusnya, Samarahan (229), Sibu (231), Sarikei (221) dan Sri Aman (207) yang turut mencatatkan IPU pada tahap sangat tidak sihat.

Manakala, lima kawasan lain merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Bintulu (150), Mukah (194), Miri (111), ILP Miri (106) dan Samalaju (131).

Tiga kawasan lain pula mencatatkan IPU sederhana iaitu SK Baram (93), Kapit (90) dan Limbang (82). — DayakDaily