Jepun pengimport utama produk perkayuan bagi Suku Pertama 2023 dengan nilai RM377 juta – Awang Tengah

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING, 24 Mei: Jepun merupakan pengimport utama bagi produk perkayuan yang menyumbang sebanyak RM377 juta bagi tempoh suku pertama 2023.

Menurut Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ia adalah 50 peratus daripada keseluruhan nilai eksport Sarawak.

“Bagi tempoh suku pertama 2023, nilai eksport produk perkayuan menunjukkan penurunan sebanyak 28 peratus kepada RM752 juta berbanding RM1.04 billion pada tempoh yang sama tahun 2022.


“Penurunan jumlah eksport in adalah kesan daripada pengurangan import produk utama seperti papan lapis, balak dan papan gentian oleh Negara Jepun dan India.

“Pasaran utama lain adalah India sebanyak RM99 juta, negara-negara Timur Tengah sebanyak RM80 juta, Taiwan sebanyak RM41 juta dan China sebanyak RM37 juta,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sementara itu kata Awang Tengah, eksport produk perkayuan masih lagi tertumpu kepada eksport produk utama.

Justeru ujarnya, industri perkayuan disyorkan mentransformasikan aktiviti dan operasi mereka dengan mengeluar lebih banyak produk perkayuan nilai tambah tinggi.

“Dalam Post Covid-19 Development Strategy 2030, Kerajaan telah mengenalpasti beberapa industri dan produk baharu yang berpotensi untuk dimajukan dengan mampan seperti industri biojisim , perabot, industri berasaskan buluh dan kayu kejuruteraan,” kata Awang Tengah.

Prestasi industri perkayuan Sarawak bagi tahun 2022 menunjukkan peningkatan nilai eksport sebanyak dua (2) peratus kepada RM3.95 bilion berbanding RM3.88 bilion tahun 2021. — DayakDaily