Jelaskan formula pemberian khas Perkara 112D kepada Sarawak — DTTAS

Paul Raja

KUCHING, 4 Okt: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) menggesa kerajaan menjelaskan formula bagi mendapatkan angka pemberian khas Perkara 112D kepada Sarawak dibawah Belanjawan 2023 yang dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Presiden DTTAS Paul Raja berkata, ia tidak boleh diberikan secara ‘one-off’ kerana ada peningkatan hasil diperolehi kerajaan persekutuan dan pengiraan atas formula berkenaan harus diselaraskan.

“Oleh yang demikian, untuk menyemak semula Perkara 112D, perkara pertama yang harus diambil kira ialah peningkatan berskala geran tersebut mulai dari tahun 1974, iaitu tahun dimana geran khas itu telah terhenti.


“Perkara kedua adalah tunggakan geran khas dari tahun 1974 hingga tahun 2019 dan seterusnya tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Paul, tunggakan ini harus diambil kira kerana tidak dapat dinafikan bahawa sebab utama mengapa pembangunan di Sarawak dan Sabah jauh ketinggalan adalah kekurangan agihan dana peruntukan kepada kedua wilayah tersebut.

Malah katanya, perlu melihat kerangka keperluan negeri kerana Sarawak merupakan Negeri yang luas dan mempunyai penduduk yang agak besar jumlahnya.

“Sebagai rakan seangkatan dalam pembentukan Malaysia, semua perkongsian iaitu hasil yang harus dibahagi berdasarkan kepada beberapa faktor.

“Ia merangkumi sumbangan Negeri Sarawak kepada kewangan negara termasuk pendapatan yang diterima kerajaan persekutuan melalui eksploitasi sumber semula jadi negeri dan hasil yang diterima daripada cukai di Sarawak,” ujar Paul. — DayakDaily