JBALB dan LAK berusaha selesaikan masalah bekalan air di Puncak Borneo

Lori tanker JBALB menghantar bekalan air ke salah sebuah kampung terjejas.

KUCHING, 24 Jan: Masalah teknikal pada sistem agihan adalah punca isu bekalan air di beberapa buah kampung di kawasan Puncak Borneo dekat sini.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menerusi kenyataan hari ini berkata, masalah tersebut menyebabkan tekanan dan jumlah air yang dibekalkan ke kawasan berkenaan berkurangan dan mengakibatkan bekalan air tidak dapat sampai ke kawasan yang tinggi.

“Walaupun kawasan-kawasan tersebut adalah di bawah seliaan pihak JBALB tetapi sumber bekalan air adalah dari Stesen Pam Penggalak No.2 Batu 10 yang dikendalikan oleh pihak Lembaga Air Kuching (LAK).


“Buat masa ini, pihak JBALB Sarawak dan LAK sedang berusaha untuk mencari punca dan penyelesaian kepada kemelut bekalan air ini.

“Pihak kami berasa kesal di atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran yang tinggi daripada para pengguna,” menurut kenyataan itu.

Namun demikian kata JBALB, pihaknya akan terus membuat penghantaran bekalan air menggunakan lori tanker ke kawasan-kawasan yang terjejas sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa.

Kampung yang terlibat dengan masalah tersebut ialah Kpg Jambu, Kpg Karu, Kpg Sarig, Kpg Simpok, Kpg Tabuan Rabak, Kpg Sira, Kpg Gayu, Kpg Serumah, Kpg Krian, Kpg Peraya, Kpg Kawa Belimbing dan Kpg Belimbing Islam.

Segala perkembangan terkini akan sentiasa dimaklumkan kepada pengguna melalui platform sosial media JBALB Sarawak. — DayakDaily