Jangan seperti kacang lupakan kulit, kata Nancy

Datuk Seri Nancy Shukri

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 13: Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan di Semenanjung, namun tetap menerima peruntukan yang paling rendah dari kerajaan persekutuan dalam pembentangan Belanjawan 2019 lalu.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dalam bajet 2019 Sabah mendapat RM5 bilion, manakala Sarawak hanya mendapat RM4.347 bilion iaitu hanya 7.94 peratus dari jumlah RM54.7 bilion peruntukan pembangunan berbanding dengan bajet pembangunan pada 2018.


Katanya, ia di mana Sarawak mendapat bajet sejumlah RM4.336 bilion daripada jumlah RM46 bilion iaitu 9.4 peratus bajet untuk pembangunan Sarawak.

“Ini bermakna dari segi peratusan, peruntukan untuk Sarawak telah berkurangan walaupun bajet yang telah diperuntukkan tahun depan adalah yang paling besar dalam sejarah negara.

“Ini diibaratkan seperti kacang melupakan kulit, Sarawak yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan Semenanjung tetapi itu sahaja yang kami dapat,” katanya semasa perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, semalam.

Nancy menambah, secara kebetulan Sarawak baharu saja membentangkan Belanjawan Sarawak 2019 sejumlah RM10,159,596,705 yang merupakan satu bajet yang bersejarah dan terbesar sekali diperuntukkan oleh Sarawak.

Tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ujarnya.

“Malah, semasa pembentangan Bajet 2019 Menteri Kewangan menyatakan Putrajaya dijangka menerima pendapatan sejumlah RM261.8 bilion pada 2019 termasuk “one-off special dividend” sejumlah RM30 bilion dari Petronas.

“Malangnya sedikitpun tidak mengambil kira Sarawak, pengeluar minyak yang terbesar sekali dan masih belum membangun berbanding dengan tanah Malaya yang mengaut keuntungan minyak dari bumi Sarawak,” tegas Nancy.

Nancy juga mempersoalkan tidakkah kerajaan persekutuan merasa bersalah kepada Sarawak dan Sabah?

Katanya, tandatangan Perjanjian Malaysia 63 (MA63) tetapi sedikit pun tidak menunjuk rasa tanggungjawab terhadap usaha membela nasib rakyat Sarawak dan Sabah.

“Nampaknya parti politik di tanah Semenanjung hanya menggunakan semangat penubuhan Malaysia di bawah perjanjian MA63 untuk mengaburi mata rakyat Sarawak dan Sabah sebelum pilihan raya sahaja, tetapi selepas itu kami dipinggirkan begitu sahaja.

“Projek-projek yang telah diluluskan sebelum pilihan raya yang hanya berjumlah berpuluh ribu sahaja pun dibatalkan. Kerajaan harus ingat bahawa kita mempunyai tanggungjawab bersama di bawah Jadual Kesembilan ‘Concurrent List’ Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam hal kebajikan, perlindungan kanak-kanak, wanita dan individu, pembiayaan belajar atau scholarship, perlindungan binatang, perancangan bandar, perparitan, kesihatan dan banyak lagi.

“Tetapi Bajet 2019 tidak memberi gambaran bahawa kerajaan perseketuan mengambil kira kesemua ini,” katanya. — DayakDaily