Kes penyakit diabetes, hypertensi semakin meningkat

Dr Sim (kanan) dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin mengadakan sidang media di DUN, Petra Jaya.

KUCHING, Nov 12: Penyakit diabetes dan hypertensi menjadi dua penyakit tidak berjangkit utama yang semakin berleluasa dan mendatangkan masalah kepada penduduk negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian mendedahkan keseluruhannya sudah sebanyak 150,149 kes diabetes mellitus yang didiagnosis dan didaftarkan di Sarawak sehingga September tahun ini.

“Bagi hypertensi pula, jumlah terkumpul kes didiagnosis telah meningkat dari sebanyak 137,713 kes didaftarkan pada 2017 kepada 357,268 kes pada 2018,” katanya ketika membuat pengulungan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di DUN, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Sim berkata pihaknya percaya masih ramai rakyat Sarawak tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan dan sehubungan itu mereka masih tidak menyedari tahap kandungan gula dan bacaan tekanan darah dalam badan mereka dan menghidap diabetes dan hypertensi.

“Maka kami menyeru rakyat Sarawak untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui status kesihatan mereka. Kalau didapati ada penyakit, rawatan awal boleh diberikan dan kemungkinan komplikasinya boleh dielakkan,” katanya.

Sementara itu mengenai denggi, Sim mendedahkan sehingga Oktober 27, 2018 sebanyak 540 kes denggi telah dilaporkan di negeri ini berbanding 834 kes itu bagi tempoh sama 2017 dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 35.3 peratus.

Mengenai malaria pula, beliau mendedahkan negeri ini telah bebas malaria yang menjangkiti manusia sejak 2016, bagaimanapun 251 kes malaria yang diimport telah dilaporkan di negeri ini berbanding sebanyak 163 kes itu tahun lepas.

Katanya kebanyakan kes itu dibawa masuk ke negeri ini oleh orang Sarawak yang bekerja di luar negara dan sehubungan itu menyeru syarikat yang ada pekerja rakyat Sarawak di negara lain supaya memastikan pekerja terbabit bebas malaria ketika pulang. — DayakDaily