Isu RM91 juta lesap: AMK Sarawak tuntut siasatan segera

Saifunnizam Sam

KUCHING, Jun 12: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak hari ini menuntut Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais supaya membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan dana sebanyak RM91 ‘lesap’ sejak 2015 hingga 2016.

Ketua Penerangan AMK, Saifunnizam Sam berkata, aduan rasmi kepada SPRM berhubung perkara itu adalah perlu bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan ke atas dakwaan tersebut.

Katanya, AMK memandang serius perkara itu dan berharap agar pihak yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan sekiranya perkara berkenaan benar-benar berlaku.

“AMK juga mengambil maklum sejak beberapa tahun ini terdapat senarai panjang pemain-pemain import Sarawak, baiknya import luar atau tempatan yang ditukar bersilih ganti ketika musim liga berlangsung.

“Ini semestinya menyebabkan FAS terpaksa menanggung rugi untuk pembayaran pampasan kepada mana-mana pemain yang ditamatkan awal kontrak perjanjian mereka.

“Oleh yang demikian, siasatan yang dilakukan juga haruslah secara menyeluruh termasuklah pemilihan, pengambilan dan penamatan kontrak pemain, pembayaran gaji, pembayaran untuk menyusun jadual perlawanan dan apa-apa jua perkara lain yang termasuk dalam pengurusan dan penggunaan dana persatuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Saifunnizam menambah, AMK berpendirian wang dana FAS adalah tanggungjawab besar persatuan untuk memastikan kemajuan dan pembangunan pasukan bola sepak Sarawak bagi bersaing dalam Liga Bola Sepak.

Jelasnya, sekiranya dana tersebut tidak diurus dengan bertanggungjawab ia akan membantutkan perkembangan bola sepak Sarawak dan memberi kesan buruk kepada generasi muda Sarawak yang berpotensi untuk diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi.

“Kepercayaan peminat bola sepak tempatan akan turut terjejas sekiranya isu ini tidak dibendung segera.

“Sekali lagi, AMK dengan tegas menuntut agar siasatan segera dilakukan terhadap FAS untuk memastikan kebajikan pemain, pembangunan bola sepak Sarawak yang bergantung dengan dana persatuan tersebut dijaga dengan baik.

“AMK yakin sekiranya urus tadbir FAS dijalankan dengan amanah dan bertanggungjawab, pasukan Sarawak kita pasti akan dapat merasai kembali zaman kegemilangan bola sepak Sarawak,” tegasnya lagi.

DayakDaily semalam melaporkan FAS mendakwa terdapat ‘tangan ajaib’ yang melesapkan dana persatuan berkenaan berjumlah kira-kira RM91 juta sejak 2015 hingga 2016.

Posa mendedahkan ‘kehilangan’ dana RM91 juta itu adalah sebab wujudnya juga unsur negatif dalam hal berkenaan.

Tegasnya, beliau mahu ‘pihak’ itu agar menghentikan menggunakan nama FAS semata-mata untuk kepentingan peribadi sahaja.

“Ya, betul dana sebanyak kira-kira RM91 juta telah ‘lesap’ oleh ‘tangan ajaib’ sejak 2015 hingga 2016.

“Saya terpaksa membuat pendedahan ini kerana tiada pilihan lain demi maruah dan imej FAS secara keseluruhan dalam usaha kita memartabatkan sukan ini,” katanya.

Posa menambah, pihaknya juga akan memanjangkan perkara itu kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

Tindakan seumpamanya penting untuk membuktikan FAS kekal sebagai badan induk bola sepak yang berintegriti dan bebas dari unsur-unsur rasuah. -DayakDaily

ends