SSC, FAS pertingkat persiapan bagi Liga Super 2022

Kelihatan Ismawi (kanan) ketika lawatan ke Stadium Negeri. Foto: Ukas

KUCHING, 8 Feb: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sedang giat melakukan persiapan terakhir menjelang bermulanya kempen Liga Malaysia (Liga M) 2022 pada Mac depan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSC Semawi Mohamad berkata, setakat ini persiapan dari segi fasiliti di Stadium Negeri yang akan menjadi venue utama kejohanan berprestij itu berjalan dengan lancar.

Katanya, SSC perlu memastikan semua fasiliti di Stadium Negeri dari segi padang, bilik persalinan dan kebersihan dalam keadaan baik dan memuaskan sebelum pihak Malaysia Football League (MFL) membuat pemeriksaan dalam masa terdekat.


“Pemeriksaan hari ini diadakan untuk memastikan kita bersedia menganjurkan perlawanan pertama Liga Super pada 4 Mac iaitu Sarawak United FC (SUFC) menentang Kedah FA.

“Dari segi persiapan, ia sudah lengkap sepenuhnya. Namun kita mahu menjadikannya lebih baik kerana ia adalah imej Sarawak.

“Padang kita mesti dalam keadaan baik dan kita mahu menunjukkan kepada MFL bahawa kita sudah bersedia,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Stadium Negeri, Petra Jaya bersama FAS hari ini.

Beliau juga menyeru orang ramai untuk hadir ke Stadium Negeri bagi memberikan sokongan kepada Sarawak United FC pada perlawanan sulung Liga Super menentang Kedah FA pada 4 Mac depan.

Setakat ini katanya, jumlah kehadiran penonton yang dibenarkan untuk memasuki stadium adalah 50 peratus dari kapasiti stadium.

Bagaimanapun, kebenaran itu tertakluk kepada keputusan pihak MFL dan situasi semasa pandemik Covid-19.

Turut hadir Pengarah Teknikal SUFC, B Sathianathan. — DayakDaily