Abdul Karim: Penstrukturan semula FAS perlu supaya dapat diuruskan dengan baik

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, Jun 12: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akan memanggil Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais bagi membincangkan mengenai penstrukturan semula badan induk bola sepak Sarawak itu supaya ia dapat diuruskan dengan baik.

Menurut Abdul Karim, beliau kini sedang memantau perkembangan mengenai FAS setelah mendapat arahan daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg supaya FAS distrukturkan semula.

ā€œSaya tahu FAS ini tidak suka orang luar termasuk kita ini untuk masuk campur urusan mereka.


ā€œTapi memandangkan nama Sarawak terlibat, kita (kerajaan negeri) yang memberi dana, sedikit sebanyak kita akan cuba menasihati agar struktur pengurusan mereka berjalan dengan baik supaya dapat memajukan prestasi bola sepak kita.

ā€œKalau ia tidak diurus dengan baik, maka prestasi pasukan juga tidak akan baik dan kita tidak mahu pemain-pemain kita tidak dibayar gaji,ā€ katanya ketika mengulas mengenai isu FAS dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Selain itu, Abdul Karim berkata akan turut membincangkan mengenai dana persatuan kira-kira RM91 juta yang didakwa dilesapkan oleh ā€˜tangan ajaibā€™ sejak 2015 hingga 2016.

Beliau berkata agak terkejut sebaik sahaja mengetahui mengenai laporan oleh Posa itu menerusi media, semalam.

ā€œSekiranya betul, saya berharap agar Presiden FAS membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dijalankan dan apa-apa tindakan yang perlu dapat diambil kerana kita tidak mahu persatuan-persatuan sukan kita ditadbirkan oleh mereka yang tidak beramanah,ā€ katanya.

Menurut Abdul Karim, selama ini FAS berhadapan masalah kewangan yang agak serius, sehingga kerajaan negeri perlu memberikan dana khas sebanyak RM3.5 juta setiap tahun dan FAS turut mendapat dana daripada penaja atau syarikat-syarikat korporat.

Namun, katanya jumlah itu juga tidak mencukupi untuk FAS terutama bagi membiayai kos penerbangan untuk mengikuti perlawanan di Semenanjung Malaysia dan Sabah termasuk membayar gaji pemain. ā€” DayakDaily