Isu projek rakyat lewat, Abang Johari gesa penjawat awam bertindak pantas

Banyak projek rakyat yang dirancang telah lewat dilaksanakan dan memerlukan penyelesaian pantas oleh penjawat awam, kata Abang Johari. Foto Fail

KUCHING, 25 Jan: Sarawak memerlukan golongan penjawat awam yang mampu bertindak pantas demi mempercepatkan agenda pembangunan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, pada masa ini terdapat banyak projek rakyat yang dirancang telah lewat dilaksanakan dan memerlukan penyelesaian pantas oleh penjawat awam.

Kata Abang Johari, ini mungkin disebabkan oleh karenah birokrasi atau disebabkan prosedur yang mengakibatkan pelaksanaan projek agak lewat.

“Sebagai contoh, Jambatan Marudi yang telah lewat setahun atau lebih. Kita telah menamatkan kontrak pihak kontraktor terlibat dan telah memilih kontraktor penyelamat.

“Kita telah membuat keputusan bahawa kontraktor penyelamat ini akan menyiapkan projek , tetapi terdapat prosedur yang harus dipatuhi yang menghalang pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengambil tindakan pembetulan dengan segera.

“Saya tidak mencadangkan agar prosedur ini dilupakan kerana amalan integriti sentiasa diutamakan, tetapi saya percaya terdapat prosedur yang kita boleh ubah supaya pembangunan dapat dipercepatkan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Demi menyelesaikannya, Abang Johari berharap jentera pengurusan kerajaan dapat mengambil maklum berhubung perkara tersebut.

Katanya, penambahbaikan kepada prosedur sedia ada harus dilakukan jika terdapat keperluan.

“Ketika pandemik Covid-19 mungkin saya boleh memberitahu rakyat bahawa pelaksanaan projek lewat kerana pandemik.

“Tetapi dengan trend penurunan kes pada masa ini, saya tidak boleh memberikan alasan yang sama lagi. Kita mesti melaksanakan projek yang telah dijanjikan kepada rakyat,” ujar beliau lagi.

Tambah Abang Johari, kerajaan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif strategik di bawah lembayung Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) demi memacu Sarawak menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi.

Bagi menangani ketidakseimbangan tahap pembangunan di bandar dan luar bandar katanya, sejumlah RM4.803 bilion atau 64 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan dalam bajet negeri 2022 diperuntukkan untuk melaksanakan projek infrastruktur dan utiliti luar bandar demi mengangkat status ekonomi luar bandar.

“Peruntukkan sejumlah RM1.18 bilion dalam Bajet 2022 bertujuan untuk mempergiatkan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, pelabuhan dan infrastruktur sungai.

“Penwujudan semua kemudahan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk mempertingkatkan aktiviti pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar,” kata Abang Johari. — DayakDaily