Individu minat berniaga atas talian perlu patuh peraturan sebelum tubuhkan peniagaan — KPDNHEP

Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mogan Arumugam menekankan kepentingan mengenai urusan perniagaan dan pembelian secara atas talian.

KOTA SAMARAHAN, 16 Dis: Setiap individu yang berminat untuk menjalankan aktiviti perniagaan di laman sesawang harus mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa terlebih dahulu berkenaan transaksi berkaitan.

Ia termasuk memaparkan nama penjual atau syarikat, harga produk, nombor pendaftaran perniagaan, maklumat untuk dihubungi, keterangan produk, kaedah pembayaran, terma dan syarat pembelian dan anggaran masa penghantaran produk terbabit.

Pegawai Tadbir dan Diplomatik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Mohammad Dzulkiflie Pathi berkata pengguna pula perlu membuat perbandingan harga, menyemak maklumat peniaga, menyemak testimoni, dan memilih laman web yang dipercayai sebelum atau pada ketika melakukan pembelian mereka.


“Selain itu, pengguna juga perlu mengambil kira kos sampingan, mendapatkan butiran peribadi pembekal dan kaedah pembayaran, menyemak terma dan syarat dan menyimpan bukti pembelian bagi mengelakkan diri mereka tertipu,” katanya ketika memberi ceramah pada Program Advokasi Kepenggunaan anjuran Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan KPDNHEP baru-baru ini.

Pelajar-pelajar IPTA yang menyertai program advokasi penggunaan baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mogan Arumugam menegaskan bahawa KPDNHEP sentiasa memantau segala transaksi peniagaan sama ada peniagaan yang mempunyai premis atau menerusi laman sesawang yang berdaftar di bawah Kementerian berkenaan.

Katanya, pelbagai kes telah dikongsi oleh panel dan hampir 10,000 laporan telah diterima oleh KPDNHEP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan perniagaan atas talian.

“Kementerian turut menasihati para mahasiswa untuk sentiasa berhati-hati dalam segala urusan perniagaan atas talian dan sebarang aduan pengguna boleh dibuat menerusi WhatsApp, laman sesawang atau ke kaunter KPDNHEP yang berhampiran.

“Pendek kata, kementerian berharap masyarakat menjadi pengguna yang bijak dan sedar akan tindakan apa yang dilaksanakan sepanjang melakukan transaksi atas talian,” katanya.

Dalam pada itu, pengarah program tersebut, Profesor Madya Dr Surena Sabil berharap program seumpama itu mampu menjadi medium untuk memberi pendedahan tentang advokasi penggunaan digital kepada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sarawak dan melahirkan ‘pengguna cakna di era digital’.

Pada masa sama, program itu dapat memberikan pengetahuan dan maklumat berkenaan pengaruh media sosial, kesan penipuan atas talian, memberi pendedahan mengenai undang-undang, akta, tatacara aduan dan maklumat mengenai faktor-faktor penyumbang kepada kes yang berlaku serta modus operandi yang digunakan.

Program tersebut disertai kira-kira 97 pelajar daripada lapan buah IPTA Sarawak dilaksanaka secara atas talian sesuai dengan keperluan pematuhan norma baharu pasca Covid-19. — DayakDaily