Bank bergerak di luar bandar Sarawak dilancar hujung Januari 2021

File photo for illustration purposes

KUCHING, 16 Dis: Perkhidmatan bank bergerak dilengkapi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa kawasan luar bandar di Sarawak akan dilancarkan hujung Januari 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) menjalin kerjasama dengan kerajaan Sarawak dan institusi kewangan melibatkan Agrobank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan RHB Bank dalam usaha menambah baik penyediaan kemudahan akses perkhidmatan kewangan.

“Usaha berterusan dan saluran alternatif juga disediakan oleh institusi kewangan bagi menyokong dan meningkatkan penyampaian kemudahan asas perkhidmatan perbankan di Sarawak termasuk pelantikan ejen bank,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Senator Susan Chemerai Anding berkenaan perkhidmatan bank bergerak yang bakal diperluas di Sarawak dan kawasan yang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu.

Menurut Zafrul lagi, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan BNM untuk menggalakkan institusi-institusi kewangan memperluaskan kemudahan perkhidmatan perbankan terutamanya kepada masyarakat yang menetap di kawasan luar bandar.

Antara inisiatif itu jelas beliau adalah menggalakkan pembangunan saluran hantaran kewangan berasaskan teknologi seperti perbankan Internet dan mudah alih serta e-dompet dengan transaksi perbankan boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa. — DayakDaily