Institut Kraf Negara tawar pengajian peringkat diploma, SKM untuk belia

Traditional Borneo beads and accessories. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Dua kursus kemahiran berkaitan penghasilan kraftangan ditawarkan kepada belia di Sarawak bagi sesi pengajian yang bermula pada Julai tahun hadapan.

Institut Kraf Negara dalam satu kenyataan menjelaskan dua kursus peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) itu ditawarkan di dua kampus satelit institut tersebut di Kuching dan di Betong.

“Bagi Kampus Satelit di Betong, Kursus Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Tiga untuk Penyelia Tenun Pua ditawarkan manakala Kampus Satelit Kuching pula menawarkan kursus SKM Tahap Satu hingga Tiga untuk Penyelia Songket dan Destar bagi mereka yang layak.

“Kedua-dua kursus ini akan mengambil masa selama dua tahun, terbuka kepada mereka yang berumur berumur 18 hingga 35 tahun, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dengan satu kredit dan mempunyai minat dalam bidang kraftangan,” menurut kenyataan itu.

Selain dua kursus itu, Institut Kraf Negara turut menawarkan kursus peringkat diploma bagi sesi pengajian sama.

Ujarnya, kesemua kursus tersebut mengambil tempoh pengajian selama tiga tahun dijalankan di kampus utama institut tersebut di Rawang, Selangor.

“Bagi kursus di peringkat diploma, syarat kemasukan adalah pemohon mestilah berumur 18 hingga 30 tahun, lepasan SPM/STPM dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga kredit serta wajib lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah, selain mempunyai minat dalam seni kraftangan,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pemohon yang berjaya bagi kedua-dua program (diploma dan SKM) tersebut akan menerima kemudahan seperti kemudahan asrama, alatan dan bahan bengkel disediakan, elaun sara hidup bulanan, makan dan minum serta insuran pelindungan pelajar.

“Permohonan kini dibuka dan dibuat secara dalam talian di laman sesawang Institut Kraf Negara bermula daripada 1 Disember 2020 hingga 15 Jun 2021,” tambah kenyataan itu. — DayakDaily