ILP Serian dijangka siap sepenuhnya hujung 2021

Riot (kiri) berkata sesuatu kepada Saravanan di lobi Parliamen hari ini.

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 20 Julai: Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun depan (2021), jelas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Jelas beliau, status kemajuan projek tersebut kini adalah 12.06 peratus berbanding jadual 32.2 peratus melibatkan kelewatan sebanyak 19.6 peratus.


“Projek Penubuhan ILP Serian, Sarawak telah bermula pada 26 April, 2018 dan dijadualkan siap pada 14 Disember, 2021.

“Penubuhan institut ini merupakan institut latihan ke-33 di bawah Jabatan Tenaga Manusia,” kata Saravanan ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Jelas beliau lagi, kelewatan yang berlaku adalah disebabkan kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac, 2020 dan aktiviti pembinaan hanya dapat dimulakankembali pada 12 Mei, 2020 dengan mematuhi SOP Pembinaan yang ditetapkan.

“Selain itu, terdapat halangan utiliti tiang elektrik di tengah tapak bina yang perlu dialihkan untuk aktiviti pembinaan dan Arahan Perubahan Kerja yang dikeluarkan kepada pihak kontraktor akibat pertukaran skop kerja juga menyumbang kepada kelewatan projek.

“Pihak kementerian telah mengarahkan pihak kontraktor untuk menyusun semula program kerja bagi pelan pemulihan projek. Pihak kontraktor telah mengemukakan permohonan lanjutan masa (EOT) susulan permasalahan seperti dinyatakan di atas dan sedang diteliti oleh pihak kementerian,” kata Saravanan.

IPL Serian dibangunkan di atas tanah seluas 56.76 ekar di Bukar Sadong Land District, Kampung Tanggak, Serian, Sarawak.

Apabila siap nanti, ia dapat menampung seramai 600 pelajar pada satu-satu masa bagi mengikuti kursus yang ditawarkan kelak.

Pembinaan institut ini merangkumi pembinaan lima (5) blok bengkel latihan, bangunan pentadbiran, bangunan asrama, bangunan kuarters, surau dan kemudahan sukan.

Keselururan projek ILP Serian menelan belanja RM260 juta.-DayakDaily