Tanaman kelapa sawit Felcra di Igan, Mukah diklasifikasikan sebagai projek untung

Harvested oil palm fruits. — file pic

KUCHING, 20 Julai: Projek tanaman kelapa sawit Felcra Bhd di bawah kawasan Igan dan Mukah diklasifikasikan sebagai projek untung.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, kedua-dua kawasan telah mencatatkan hasil tahunan per hektar yang tinggi.

“Hasil tahunan per hektar ialah di antara 21 metrik tan per hektar ke 27 metrik tan per hektar.


“Ini setanding dengan syarikat-syarikat perladangan lain yang beroperasi di negeri Sarawak,” katanya sebagai menjawab soalan MP Igan Ahmad Johnie Zawawi pada persidangan Parlimen hari ini.

Menurut Abdul Latiff, bagi projek di kawasan Matu pula, tujuh daripada 14 buah projek dikategorikan sebagai projek untung dan selebihnya adalah projek rugi.

Katanya, seramai 1,280 orang peserta terlibat di dalam projek-projek yang dimajukan oleh Felcra Bhd di Parlimen Igan.

Ia dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu Igan, Mukah dan Matu dengan keluasan keseluruhan 4,369 hektar.

Bagi menjawab isu berkaitan agihan keuntungan yang berkurangan, Abdul Latiff berkata pengurusan Felcra Bhd berhadapan dengan situasi seperti kedudukan projek-projek di kawasan ini yang bertaburan dan bersaiz kecil.

“Kebanyakannya di bawah 50 hektar, terdapat juga masalah pencerobohan di tujuh buah projek di dalam kawasan ini dan masalah pengurusan air.

“Bagi membantu meningkatkan pendapatan peserta, Felcra Bhd sedang di dalam usaha untuk membangunkan usahawan di kalangan peserta dan generasi kedua,” ujar beliau. — DayakDaily