Ikan labang penunggu lubok Ulu Linau

Jimpau memegang ikan labang seberat 20kg yang ditangkap di lubok Ulu Linau.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Okt: Pemburu ikan di Sungai Linau dan Sungai Balui di kawasan Batang Rajang tahu dimana lubok ikan-ikan kayangan seperti semah, empurau, labang, tapah dan mengalan.

Menurut Jimpau Balan, 52, yang berasal dari Ulu Linau di Belaga, sesebuah lubok kebiasaannya dihuni satu spesis ikan.


Beliau yang sejak dari kecil lagi meminati aktiviti mencari ikan di sungai mempelajari ilmu ini dari generasi terdahulu dan juga dari pengalaman.

Apatah lagi sungai di sekitar perkampungan di Belaga masih kaya dengan pelbagai spesis ikan.

“Salah satu pengalaman dan kegembiraan yang pernah saya rasai ialah apabila berjaya memperoleh dua ikan labang yang beratnya hampir 20 kilogram seekor beberapa tahun lalu.

“Ikan sebesar ini terjerat pada pukat yang dipasang oleh saya dan empat rakan lain di satu lubok di Ulu Linau.

“Apa lagi, tersangatlah gembira kerana berjaya memperoleh ikan labang sebesar ini, sudah lama tidak,” katanya kepada DayakDaily.

Beliau dan rakan-rakan ketika itu berkhemah selama 3 malam bagi tujuan menangkap ikan.

Lubuk Ulu Linau yang dihuni ikan labang.

Menurut Jimpau, lubuk ikan labang itu terletak diantara kawasan tadahan air Empangan Bakun dan Sungai Linau.

Katanya, ia lebih kurang 2 jam perjalanan menggunakan bot dari Jelatong Bakun.

“Sehingga kini, lubok labang Ulu Linau ini masih wujud, terdapat juga air terjun yang cantik di sekitarnya.

“Ia merupakan satu kawasan popular dikalangan pemburu ikan, bukan sahaja labang tetapi ikan lain seperti empurau dan tapah,” kata Jimpau.

Selain labang, Jimpau dan rakan-rakan sepanjang aktiviti menangkap ikan juga pernah memperoleh ikan empurau, semah dan tapah yang besar.

Jimpau juga seorang pemain sape yang terkenal di Sarawak. — DayakDaily