Hentikan sebar fitnah dalam laman sosial — Rohani

Fitnah yang ditularkan terhadap Nancy di laman social.

KUCHING, Feb 20: Tindakan netizen menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Nancy Shukri di laman sosial adalah
suatu perbuatan yang sangat tidak beretika.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata, perkara tersebut telah berkali-kali dinafikan oleh beliau sejak fitnah seumpamanya dilemparkan pada tahun 2015.

Menurut beliau, sepatutnya isu itu tidak timbul lagi kerana penjelasan terhadapnya telah dilakukan dan jelas ia merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu dengan memutarbelitkan kenyataan dan mereka-reka fitnah.


“Sememangnya masa yang tepat bagi kerajaan menggubal undang-undang berita palsu seperti yang dirancang bagi membanteras penyebaran fitnah secara berleluasa.

“Ini kerana perkara itu boleh memecah-belahkan masyarakat serta menghancurkan keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Rohani menambah, perkara tersebut sedang dalam perincian di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mana telah di bawa ke Kabinet baru-baru ini.

Justeru katanya, beliau berharap pihak berkuasa dapat menjejaki penyebar fitnah dan dapat dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

“Saya juga menggesa supaya netizen dapat menghentikan penyebaran berita palsu berkenaan.

“Saya turut menyeru agar masyarakat tidak mempercayai sewenang-wenangnya berita palsu dan fitnah tanpa menyemak dengan sumber yang sahih,” katanya lagi.

Sebelum itu, beliau mengulas paparan di akaun Facebook di atas nama Lie Willies yang memuat naik kandungan memburuk-burukkan Nancy.

Polis juga dilaporkan mengesan pemilik akaun Facebook tersebut selepas menerima laporan daripada seorang awam di Balai Polis Sentral di Kuching, berhubung perkara itu. — DayakDaily