Polis giat buru suspek bunuh pekerja ladang kelapa sawit

Anggota polis melakukan siasatan di lokasi mayat mangsa ditemui mati dipercayai dibunuh.

BELAGA, Feb 20: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga giat mengesan dan memburu suspek yang disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang pekerja ladang kelapa sawit di Ladang Penyuan 2 Estate di sini semalam.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah, Asp. Mohd Sani Junid, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung jenayah berkenaan diminta supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Jelas beliau, orang awam boleh menghubungi IPD Belaga di talian 086-461318 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Sandes Edwin Umpang di talian 013-3900775.


“Buat masa ini, polis masih memburu suspek yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh mangsa iaitu Dariman yang berumur 29 tahun.

“Polia juga masih menyiasat motif kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sani menambah, pasukan polis yang tiba di lokasi kejadian lewat malam tadi telah menemui sebilah tombak sawit pada jarak kira-kira tiga meter dari mayat mangsa.

“Anggota polis turut mengesan kesan darah pada bahagian mata tombak itu,” katanya lagi.

DayakDaily telah melaporkan para pekerja di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh susulan penemuan kesan tetakan pada leher dan punggung mangsa di kawasan ladang tersebut.

Mayat lelaki itu ditemui oleh penolong pengurus ladang serta beberapa pekerja di situ kira-kira pukul 9.30 pagi.

IPD Belaga menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa daripada penolong pengurus Ladang Penyuan 2 Estate di situ.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — DayakDaily