HDC tidak terima surat harga jualan rumah PPR

Mohd Asman Ahmad

KUCHING, 20 Sept: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak tidak pernah menerima sebarang surat daripada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung isu harga jualan rumah dibawah Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menurut ketua pegawai eksekutif HDC, Mohd Asman Ahmad, harga jualan rumah PPR di Sarawak adalah selari dengan polisi perancangan Rumah Mampu Milik (RMM) yang telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri (SPA) dan telah digunapakai sejak 2011.

Ini selaras dengan peningkatan kos tanah, bahan binaan dan kos penyambungan utiliti, katanya.


Beliau menjelaskan, untuk negeri Sarawak, PPR yang dibangunkan oleh KPKT dikendalikan oleh HDC dibawah memorandum persefahaman.

“Memorandum persefahaman PPR menetapkan bahawa kerajaan Sarawak, melalui HDC, menyediakan tanah bagi tujuan pembangunan PPR dan kerajaan persekutuan, melalui KPKT, menyediakan peruntukkan kewangan.

“HDC juga bertanggungjawab dalam penjualan rumah-rumah PPR yang telah siap dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Mohd Asman, tiga projek PPR untuk dijual telah disiapkan di Sarawak, iaitu PPR Sungai Rait, Miri (505 unit), PPR Banjaran Serapi Sungai Tengah, Kuching (439 unit) dan PPR Samarahan Tanjung Tuang, Samarahan (180 unit).

Ketiga-tiga projek ini melibatkan pembinaan rumah teres setingkat yang telah siap pada tahun 2015 dan 2018, tambah beliau.

Mohd Asman berkata harga jualan rumah untuk ketiga-tiga projek di atas ditetap berdasarkan polisi RMM kerajaan Sarawak yang telah diluluskan pada tahun 2011, iaitu RM50,400 bagi unit tengah dan RM59,200 bagi unit tepi, dan tidak sengaja dinaikkan oleh HDC seperti yang didakwa.

Dalam pada itu, beliau berkata memorandum persefahaman (MoU) berhubung harga penjualan rumah PPR Sungai Rait, Miri, telah ditandatangani antara kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan kerajaan persekutuan melalui KPKT pada 31 Jun, 2017.

Bagi PPR Sungai Rait dan PPR Banjaran Serapi, kesemua unit telah diduduki dan didiami, manakala PPR Samarahan dalam proses penyerahan kunci dan dijangka diduduki sepenuhnya pada penghujung September 2019, katanya.

Bagi memastikan golongan B40 memiliki rumah PPR yang dibangunkan, kerajaan Sarawak menyediakan pinjaman pembelian rumah menerusi anak syarikat HDC, iaitu Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd, ujar beliau.

Dalam pada itu, dua projek PPR masih dalam pembinaan, iaitu PPR Landeh, Kuching, melibatkan 443 unit rumah pangsa lapan tingkat dan PPR Petra Jaya, Kuching, melibatkan 208 unit rumah teres setingkat.

HDC juga bertanggungjawab dalam mengurus dan mengendalikan 3,251 unit PPR sewa yang telah dibangunkan oleh KPKT di seluruh Sarawak.

Mohd Asman menambah, bagi memenuhi permintaan perumahan mampu milik di Sarawak, HDC berharap lebih banyak lagi subsidi dan peruntukkan dapat disalurkan oleh KPKT bagi memberi manfaat kepada rakyat Sarawak untuk menikmati harga yang sama bagi PPR di Semenanjung Malaysia. — DayakDaily