Len: Tiga pendekatan untuk capai matlamat sifar setinggan 2025

Len (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (7 Dis, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Dis: Jawatankuasa Setinggan Negeri Sarawak telah menggariskan tiga pendekatan untuk mengatasi masalah setinggan di negeri ini khususnya di bandar-bandar besar.

Timbalan pengerusinya Datu Len Talif Salleh berkata, ia penting untuk mencapai sasaran sifar setinggan menjelang 2025.

“Pendekatan pertama ialah memperuntukkan unit-unit rumah kosong sedia ada bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) kepada setinggan yang memohon dan memenuhi kriteria.

“Kedua, memperuntukkan minimum 20 peratus unit rumah PPR yang dibangunkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada setinggan yang memohon dan memenuhi kriteria.


“Dan yang ketiga ialah memperuntukkan minimum 20 unit rumah Spektra Permata yang dibangunkan di atas tanah Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) kepada setinggan yang memohon dan memenuhi kriteria,” katanya.

Len berkata demikian pada sidang media selesai merasmikan ‘Seminar on Engineered Timber Products 2020’ di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah beliau yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, masalah setinggan wujud di Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu.

Katanya, masalah juga wujud di bandar-bandar kecil seperti di Sarikei, Bintangor, Betong dan Kapit.

Justeru jelas beliau, pendekatan yang sama juga akan dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah tersebut di banda-bandar kecil.

“Usaha menyelesaikan masalah setinggan juga melibatkan program skim pemindahan kampung dan skim penempatan semula.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan infrastruktur jalan raya, bekalan air dan eletrik termasuk kemudahan telekomunikasi di skim-skim berkenaan,” ujar Len. — DayakDaily