HASiL: Kutipan cukai tahun 2021 lebih RM140 bilion

Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUCHING, 1 Mac: Jumlah kutipan cukai bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 17 peratus berbanding tahun 2020, kepada lebih RM140 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan satu prestasi cemerlang kerana hasil kutipan cukai ini menyumbang hampir separuh daripada jumlah pendapatan negara.

“Kejayaan yang amat membanggakan ini merupakan usaha transformasi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) yang merentasi 28 perkhidmatan percukaian secara dalam talian, dan enam aplikasi digital di bawah pendekatan Go Digital for Future Services.


“Ketangkasan HASiL dalam mengadaptasi keperluan pendigitalan jelas sekali telah mempermudahkan urusan percukaian bagi seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Hari HASiL Ke-16 yang diadakan di Cyberjaya di Kuala Lumpur hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tambah Ismail, Keluarga HASiL juga telah memastikan pengurusan bantuan kepada seluruh Keluarga Malaysia berjalan dengan lancar dan diterima dalam tempoh sepatutnya.

Ini termasuklah pelbagai bantuan tunai kepada rakyat dan perniagaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Geran Khas Prihatin (GKP).

“Dan kini, menerusi Bajet 2022, HASiL sekali lagi diberikan amanah menguruskan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia 2021 iaitu inisiatif di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia,” kata Ismail.

Dengan pemulihan yang lebih jelas tahun ini, Ismail menjangkakan kutipan hasil akan kembali kepada paras sebelum pandemik Covid-19.

Beliau yakin bahawa Keluarga HASiL akan berjaya mengulangi pencapaian tahun 2021 dan akan memenuhi atau melebihi sasaran kutipan cukai berjumlah RM139 bilion bagi tahun ini.

“Bagi menyokong hasrat ini, HASiL melalui pengurusannya perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan dan dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan.

“Ini termasuklah mengenal pasti sektor ekonomi baharu dan melaksanakan undang-undang percukaian dengan telus, berkesan dan cekap,” katanya.

Dalam pada itu Ismail berkata, Kerajaan mengunjurkan bahawa Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) akan tumbuh sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus, selari dengan unjuran oleh IMF (5.7%) dan Bank Dunia (5.8%).

Ujarnya, ini didorong oleh Bajet 2022 yang mengembang serta pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan. — DayakDaily