Harden gesa penduduk luar bandar terokai ilmu digital

Francis (dua dari kiri) menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Program Inklusiviti Digital di Engkilili.

KUCHING, 23 Dis: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden pada Sabtu lepas (19 Dis) telah menyempurnakan Penutupan Program Inklusiviti Digital 2020 di Pusat Komuniti Perpustakaan di Engkilili.

Program dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Komuniti dan melibatkan 70 peserta dari kalangan Ahli Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) serta
Tuai Rumah yang berkursus selama enam hari bagi mendalami ilmu komunikasi digital.

Francis pada ucapannya berkata, program bersesuaian dengan kehendak masa kini khususnya berhubung pengetahuan digital.


“Ini merupakan aspirasi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha menyebarkan dasar yang mengutamakan rakyat untuk memiliki ilmu
pengetahuan dalam bidang internet dan boleh menggunakan aplikasi yang tersedia,” katanya.

Beliau turut meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Kelab Rekreasi MDLA Engkilili.

Pada hari yang sama, Francis di sebelah petang telah menghadiri Program Gotong-Royong dan Kempen Kebersihan di Rh Chau anak Sambau di
San Ugol di Sri Aman, bersama lebih 200 penduduk.

Francis menyeru agar mereka terus mengutamakan kebersihan dan tidak leka dengan penularan wabak Covid-19.

“Program ini memberi impak dalam menyerikan lanskap di kawasan rumah panjang selain memupuk semangat kerjasama di kalangan penduduk,” ujar beliau.

Beliau juga menyeru agar semua rakyat terus bersama kepimpinan dan komponen parti dalam GPS.

Menurut Francis, pemimpin di dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sudah berpengalaman dan mempunyai hala tuju.

“Komponen parti dalam GPS ini telah menjadikan negeri Sarawak stabil dan tidak mudah dipermain oleh parti luar Sarawak,” katanya.

Pada program tersebut, Francis telah meluluskan geran MRP berjumlah RM5,000 kepada JKKK Rh Chau, San Ugol dan RM3,000 kepada Biro
Wanita. — DayakDaily