Hapuskan perkahwinan kanak-kanak bawah 18 tahun ke bawah — Pertubuhan Pertolongan Wanita

Pertubuhan Pertolongan Wanita/ Women's Aid Organisation logo

KUCHING, Jun 28: Dalam beberapa hari lagi, ‘Girls Not Brides’ sebuah kerjasama antara beratus-ratus organisasi masyarakat sivil (OMS) yang komited untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak, akan mengadakan mesyuarat global keduanya di Kuala Lumpur.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata, ini merupakan peluang yang unik bagi rakyat di negara ini termasuk Sarawak untuk menghantar sebuah mesej yang jelas kepada kerajaan hari ini.

Kata WAO, mesej jelas itu ialah undang-undang harus dipinda agar had umur minimum untuk berkahwin ditetapkan pada umur 18 tahun dalam semua kerangka undang-undang, termasuk perkahwinan sivil, Islam dan adat istiadat Bumiputera, tanpa sebarang pengecualian.


“Manifesto Harapan dalam Iltizam 4 menyebut sistem perundangan melindungi hak dan kehormatan wanita turut menyatakan janji untuk memperkenalkan sebuah undang-undang yang menetapkan umur 18 tahun sebagai had umur minimum untuk berkahwin.

“Jadi, sekaranglah waktunya untuk memenuhi janji ini kerana perkahwinan sebelum umur 18 tahun merupakan sebuah pelanggaran mendasar terhadap hak asasi manusia dan hak seorang kanak-kanak yang menjejaskan setiap aspek kehidupannya,” kata WAO dalam satu kenyataan media kepada DayakDaily semalam.

WAO menambah, berdasarkan data Banci Malaysia Tahun 2000, terdapat 6,800 kanak-kanak perempuan dan 4,600 kanak-kanak lelaki di bawah umur 15 tahun yang telah berkahwin.

Tambah WAO, manakala bedasarkan banci tahun 2010 yang lebih terkini tidak menyertakan data yang dapat dibandingkan dan berdasarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara, terdapat 6,246 permohonan perkahwinan kanak-kanak Islam dan 2,755 kes perkahwinan kanak-kanak bukan Islam dari tahun 2010 hingga 2015.

“Di Malaysia dan tempat-tempat lain di seluruh dunia, perkahwinan kanak-kanak seakan-akan ‘merompak’ peluang anak-anak ini untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka, mengganggu pendidikan, menghadkan peluang, meningkatkan risiko keganasan, dan membahayakan kesihatan.

“Perkahwinan kanak-kanak di Malaysia memberi kesan terhadap kanak-kanak perempuan dan lelaki, baik di kawasan bandar mahupun pedalaman. Amalan ini tidak terhad kepada mana-mana agama dan bangsa dan diamalkan oleh komuniti Cina, India, Melayu, serta komuniti orang asal dan pelarian, seperti golongan Rohingya, di Malaysia,” ujar WAO lagi.

WAO menambah, perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berkait dengan norma-norma sosial yang diterima umum; kanak-kanak kerap menerima tekanan untuk berkahwin, kadang-kadang daripada ibu bapa sendiri.

Misalnya kata WAO, apabila berhadapan dengan kehamilan bawah umur, perkahwinan kanak-kanak dianggap satu-satunya solusi yang sesuai untuk mengelakkan rasa malu akibat beranak luar nikah, menghalalkan hubungan tersebut dan kononnya untuk melindungi masa depan pengantin perempuan.

“Oleh itu, penghapusan perkahwinan kanak-kanak secara berkesan dan mapan memerlukan perubahan dari segi sikap dan tingkah laku untuk mewujudkan norma-norma sosial dan budaya baharu yang tidak bertolak ansur terhadap perkahwinan kanak-kanak di Malaysia,” tambah WAO.

Sehubungan itu kata WAO, dalam usaha menghapuskan amalan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia, WAO menyeru kerajaan untuk mnghasilkan pernyataan komitmen untuk meninggikan had umur perkahwinan kepada umur 18 tahun selaras dengan Manifesto Harapan.

Katanya, antara lain iala perubahan undang-undang untuk menetapkan had minimum umur perkahwinan kepada umur 18 tahun untuk wanita dan lelaki dalam semua kerangka undang-undang, termasuk perkahwinan sivil, Islam dan adat istiadat Bumiputera, tanpa sebarang pengecualian dan dengan syarat kebenaran penuh daripada kedua-dua pihak diperolehi untuk mana-mana perkahwinan.

“Ini adalah kerana semua kanak-kanak mempunyai hak untuk memenuhi harapan dan impian mereka, serta mencapai potensi mereka sepenuhnya.

“Tempat mereka adalah di sekolah, bukan berkahwin sebelum umur 18 tahun,” tegas WAO lagi.

Di Malaysia, perkahwinan kanak-kanak masih dibenarkan di bawah kedua-dua Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) dan Undang-Undang Keluarga Islam walaupun pihak kerajaan telah menarik balik reservasi ke atas Artikel 16(2) dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Dengan menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC), Kerajaan Malaysia terikat untuk mengambil segala langkah yang berkesan dan berpatutan dengan tujuan untuk menghapuskan mana-mana amalan tradisional yang menjejaskan kesihatan kanak-kanak termasuk perkahwinan kanak-kanak.

Ini sejajar dengan pembaharuan undang-undang yang telah dilaksanakan oleh negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti Algeria, Bangladesh, Maghribi dan Turki untuk meningkatkan had umur minimum perkahwinan kepada umur 18 tahun ke atas.

Baru-baru ini juga, Presiden Indonesia, Joko Widodo, telah bersetuju untuk menandatangani sebuah dekri yang akan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak di negara berkenaan. — DayakDaily