Sarawak menyokong cadangan menaikkan had umur perkahwinan dari 16 kepada 18 tahun

Fatimah (duduk tengah) bersama peserta 'Perbincangan Meja Bulat Isu Pengangkatan Anak dan Had Umur Minima Perkahwinan di Sarawak 2018' selepas merasmikan penutupan persidangan itu di Kuching, semalam.

KUCHING, Ogos 9: Sarawak bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu meminda undang-undang bagi menaikkan had umur perkahwinan di negara ini dari 16 tahun kepada 18 tahun.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian berikutan ‘Perbincangan Meja Bulat Isu Pengangkatan Anak dan Had Umur Minima Perkahwinan di Sarawak 2018’ pesertanya yang terdiri dari ketua kaum, pegawai daerah, residen, badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat dan wakil jawatankuasa adat semua kaum etnik tempatan secara keseluruhannya bersetuju dengan cadangan terbabit.

“Itu yang telah kami bincangkan tadi dan kami katakan ianya (had umur perkahwinan di negara ini) boleh dinaikkan kepada 18 tahun, asalkan bukan bawah 16 tahun,” katanya ketika merasmikan penutupan ‘Perbincangan Meja Bulat Isu Pengangkatan Anak dan Had Umur Minima Perkahwinan di Sarawak 2018’ yang dianjurkan kementerian terbabit dan Majlis Pembangunan Sosial, di sebuah hotel di Jalan Simpang Tiga, di sini, semalam.


Fatimah mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri yang mahu menaikan had umur perkahwinan terbabit berikutan telah berlaku kes yang tular di laman sosial mengenau seorang lelaki berusia 41 tahun berkahwin dengan pasangannya yang berusia 11 tahun dari Selatan Thai baru-baru ini.

Disamping itu, beliau juga mendedahkan peserta persidangan terbabit turut bersetuju dengan cadangan supaya had umur minima perkahwinan secara adat bagi semua kaum etnik di negeri ini mula ditetapkan dan mereka mencadangkan ianya tidak boleh dibawah usia 16 tahun.

“Ini kerana ketika ini perkahwinan secara adat kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan etnik lain tidak ada menyatakan sebarang had umur minima. Selain itu, perbuatan berkahwin dengan pasangan dibawah umur 16 tahun boleh dianggap melakukan rogol dibawah undang-undang berkaitan jenayah itu,” katanya.

Bagaimanapun bagi dicadangkan juga perkahwinan adat bagi pasangan yang berusia 16 tahun keatas dan 17 tahun boleh dibenarkan setelah mendapat kebenaran pihak yang belum lagi ditentukan tetapi pihak itu mesti bukanlah ibu bapa kepada pasangan.

“Ini seperti perkahwinan dibawah undang-undang sivil, mereka yang berusia lebih 16 tahun dan bawah 18 tahun boleh berkahwin sekiranya mendapat kelulusan Ketua Menteri Sarawak,” katanya.

Katanya peserta perbincangan meja bulat terbabit yang mewakili pelbagai kaum etnik di negeri ini selepas ini akan mengemukakan cadangan had umur itu bagi perkahwinan secara adat kepada jawatankuasa adat kaum masing-masing bagi dibincangkan sebelum keputusan perbincangan itu dimaklumkan kepada kementeriannya bagi proses selanjutnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan semua kaum etnik di negeri ini membincangkan perkara ini ketika acara Simposium Budaya Sarawak yang bermula bulan ini sehingga November depan. — DayakDaily