WAO mahu prosedur Tribunal Perkahwinan dipinda

Pertubuhan Pertolongan Wanita/ Women's Aid Organisation logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 20: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) memaklumkan bagi pasangan suami isteri bukan Islam yang menuntut cerai, mereka disyaratkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk merujuk kes tersebut ke Tribunal Perkahwinan.

WAO dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, namun, dalam kes yang melibatkan keganasan rumah tangga, syarat JPN ini meletakkan mangsa dalam bahaya.


Jelas WAO, dalam hal ini, antara tempoh 2014 dan 2017, sejumlah 15,617 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Malaysia, bahkan, pada 2017, lebih 5,700 kes dilaporkan.

“Justeru, WAO menggesa JPN untuk menyemak semula prosedur-prosedurnya yang membabitkan Tribunal Perkahwinan bagi menjamin keselamatan mangsa keganasan rumah tangga.

“Proses-proses yang khusus boleh dilaksanakan bagi kes-kes yang melibatkan keganasan rumah tangga untuk menangani risiko besar di masa hadapan,” kata WAO dalam satu kenyataan media hari ini.

WAO menambah, mengikut Seksyen 106(2) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA), sekiranya kedua-dua pihak dalam kes perceraian tinggal di kawasan yang berlainan, mereka perlu merujuk kes ke tribunal perkahwinan ‘bagi kawasan yang kedua-dua mereka bermastautin bersama akhir sekali’.

Akan tetapi ujar WAO, bagi mangsa keganasan rumah tangga, syarat itu boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan fizikal mangsa.

“Ini kerana, sering kali mangsa keganasan rumah tangga yang berjaya melepaskan diri daripada tempat tinggal mereka dengan pelaku keganasan memilih untuk berpindah ke tempat lain demi keselamatan diri dan juga untuk memulakan kehidupan baharu.

“Oleh demikian, syarat yang memaksa mangsa pulang ke tempat tinggal terdahulu boleh menyebabkan ketakutan dan trauma yang dahsyat kepada diri mangsa, selain membawa risiko keselamatan kepada diri mereka,” tegas WAO.

Sementara itu, WAO memberitahu, sungguh pun Seksyen 106(1)(vi) LRA mengecualikan syarat hadir ke tribunal perkahwinan ini jika “rujukan kepada badan pendamai tidak praktik”, bayaran guaman yang terpaksa dibayar bagi memohon pengecualian tersebut lazimnya dalam sekitar RM5,000 hingga RM6,000.

Kata WAO, kos itu ternyata terlampau tinggi dan mengekang ramai wanita, apatah lagi wanita yang telah melepaskan diri daripada tempat tinggal yang membahayakan mereka, dan mungkin telah berhenti kerja kerana terpaksa berpindah.

“Justeru, garis panduan dan prosedur Tribunal Perkahwinan JPN sedia ada ini perlu disemak semula bagi membolehkan mangsa keganasan rumah tangga memanfaatkan pengecualian yang tertera dalam Seksyen 106(1)(vi) LRA dengan memohon sendiri, tanpa sebarang kos, tanpa perlu mendapatkan khidmat dan bantuan guaman.

“Antara bahaya besar kepada mangsa apabila terpaksa menghadiri tribunal perkahwinan JPN ini adalah ketiadaan sebarang dasar keselamatan yang dilaksanakan secara umum bagi memastikan keselamatan individu terbabit, termasuk pihak lain yang juga berdepan risiko.

“Bahkan, bagi mangsa yang telah mendapat Perintah Perlindungan Kecemasan, Perintah Perlindungan Interim, atau pun Perintah Perlindungan sekalipun, langsung tiada sebarang protokol yang melindungi mereka ketika hadir ke tribunal tersebut,” kata WAO. — DayakDaily