JPJ Sarawak akan teruskan semua program termasuk pengurangan saman

Road Transport Department logo (sourced from www.jpj.gov.my)

KUCHING, Jun 28: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan meneruskan program pengurangan saman namun ia akan hanya dibuat di pejabat jabatan itu sahaja.

Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata ia termasuk program ‘JPJ Bersama Anda’ dan program ‘Satu Komuniti Satu JPJ’ (SKSJ), yang telah dijalankan sebelum ini.

“Buat masa ini semua program yang berjalan akan diteruskan, tetapi untuk program baru kita tangguhkan sebab mungkin ada penambahbaikan dari segi sasaran peserta dan kita nak melihat balik dari segi kos dan pelaksanaannya,” katanya.


Mohd Syafiq berkata demikian ketika ditemubual sempena Majlis Ramah Tamah Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri JPJ Sarawak 2018, di ibu pejabatnya di sini.

Mengenai program SKSJ, beliau berkata JPJ Sarawak telah menjalankan empat program SKSJ di lokasi-lokasi yang dirancang iaitu Asajaya, Limbang, Debak dan Serembu pada tahun ini, yang memanfaatkan lebih 2,000 peserta.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Syafiq berkata Majlis Ramah Tamah Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri JPJ Sarawak adalah amat bermakna, untuk merapatkan lagi silaturahim serta mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan di kalangan warga JPJ Sarawak.

Beliau turut mengingatkan warga JPJ Sarawak supaya tidak lupa kepada tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan kepada jabatan.

Pada masa sama, beliau menasihati warga JPJ Sarawak agar sentiasa menjaga imej dan nama baik jabatan. — DayakDaily