GPS: Pelantikan Ismail sebagai TPM beri nafas baharu kepada pentadbiran negara

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Julai: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) memberi nafas baharu kepada pentadbiran negara.

Menurut Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pelantikan itu dapat mengembalikan semula tumpuan semua pihak kepada isu lebih utama.

Malah katanya, dengan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri adalah amat tepat pada masanya mengambil kira suasana politik negara yang agak panas ketika ini.

“Ia diharap dapat mengembalikan semula tumpuan semua pihak kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara ketika kita semua sedang bergelut dengan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai pemimpin tambah Nanta, rakyat memerhatikan segala apa yang sedang berlaku dan paling penting ramai yang tidak bersetuju dengan permainan politik yang boleh menggugat kestabilan negara ketika ini.

Justeru MP Kapit itu berpendapat pelantikan kedua-dua pemimpin yang terkenal dengan ketokohan dan keupayaan masing-masing ini amat bersesuaian dengan tanggungjawab besar yang diletakkan pada bahu mereka.

Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) yakin Ismail mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugasnya dengan cemerlang sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Hishammuddin pula katanya mempunyai reputasi baik malah keupayaannya menguruskan krisis ketika negara berhadapan dengan isu penerbangan MH370 sehingga kini masih diperkatakan banyak pihak termasuk pemimpin luar negara.

Menerusi kenyataan itu, Nanta meminta bantuan Hishammuddin yang turut mengetuai Kluster Keselamatan untuk memberi perhatian kepada isu keselamatan di Sarawak.

“Ini termasuklah membabitkan insiden pencerobohan sempadan oleh 16 pesawat China yang memasuki ruang udara Malaysia berhampiran Sarawak hujung Mei lalu.

“Selain kapal pengawal pantai China berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak, awal Jun ini.

“Saya yakin dan percaya, pelantikan kedua-dua mereka akan memberi nafas baharu kepada pentadbiran negara dalam kita semua berjuang melawan Covid-19 demi kebaikan semua pihak,’ ujar Nanta. — DayakDaily