Lelaki turut ditahan kerana bantu teman wanitanya lari dari pusat kuarantin

Suspek dan teman lelakinya ditahan di Petra Jaya.

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 7 Julai: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan berjaya menangkap semula wanita yang dilaporkan lari dari Pusat Kuarantin Covid-19 Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sarawak.

Suspek dikenali sebagai Rozila Mohd Jaya berusia 31 tahun ditangkap bersama teman lelakinya di tepi jalan berhampiran bangunan Kastam, Jalan Field Force, Petra Jaya sekitar jam 12 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata suspek hasil daripada siasatan mengaku melarikan diri dari pusat kuarantin tersebut di Jalan Puncak Borneo, di sini.

Jelasnya, sebaik sahaja berjaya keluar dari pusat kuarantin tersebut, suspek terus menghubungi teman lelakinya untuk menemaninya.

“Suspek dapat dikesan serta ditangkap atas maklumat yang disalurkan oleh bapa kepada teman lelaki suspek,” katanya.

Setelah tangkapan dilakukan, suspek kemudian diserahkan kepada petugas penyelia Pusat Kuarantin Covid-19 KSKB, Jalan Puncak Borneo.

“Teman lelaki suspek juga turut diserahkan ke pusat kuarantin kerana merupakan kontak rapat kepada suspek,” katanya.

Suspek sebelum ini pernah dipenjarakan atas kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily