GPS dibentuk bagi pertahankan hak Sarawak — Abdullah Saidol


BINTANGOR, Jun 27: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diumumkan penubuhannya mempunyai hala tuju politik untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat di negeri ini.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol berkata, langkah penubuhan GPS yang dianggotai empat parti tempatan di Sarawak adalah tepat pada masanya khususnya dalam menentukan hala tuju tersendiri berbanding sebelum ini bernaung di bawah Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, budaya kerja dan falsafah politik GPS perlu ‘dirombak’ dan diberi nafas baharu dalam memastikan pelan serta pelaksanaan pelbagai pembangunan untuk rakyat di negeri ini diberi perhatian.


“Seperti sedia maklum, GPS berbeza dengan parti yang berpangkalan di Semenanjung seperti DAP dan PKR yang telah melebarkan sayap mereka di sini.

“Paling utama ialah penubuhan GPS ini bukan seperti kita ‘tukar baju’ kerana GPS memiliki perjuangan tulen khususnya untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Pada Jun 12 lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan keputusan keluar dari BN dan membentuk GPS berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan sebulat suara empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar BN dengan menubuhkan GPS adalah demi ‘survival’ politik dan kelangsungan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

Keputusan berkenaan dilakukan selepas mengambil kira perkembangan politik semasa khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 9 lalu.

GPS yang dibentuk akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk kepentingan nasional serta kepentingan negeri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

Dalam PRU14 lalu, BN berjaya menang 19 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dengan PBB menang 13 kerusi sementara PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1). — DayakDaily