Lelaki tumbuk dan cederakan ibu kandung diberkas

PDRM logo

LIMBANG, Jun 27: Tindakan ganas seorang lelaki menumbuk ibunya di sebuah rumah di Kampung Lubok Tuan di sini akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Mohd Bukhori Saffai berkata, suspek ditahan susulan laporan polis yang diterima daripada mangsa.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, kejadian itu dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu kira-kira pukul 4.30 petang.

“Mangsa mendakwa suspek tiba-tiba naik angin dan mengamuk selepas dikatakan mabuk.

“Suspek yang marah akibat ditegur kemudian menumbuk ibunya hingga dia mengalami lebam di mata dan luka pada dahinya,” katanya di sini hari ini.

Mohd Bukhori menambah, tidak cukup dengan itu, suspek juga didakwa menarik rambut seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Katanya, kanak-kanak yang juga cucu kepada mangsa ketika itu berada di dapur rumah berkenaan sebelum diperlakukan sedemikian oleh suspek.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya dan jika gagal membayar denda akan dikenakan hukuman penjara tiga bulan.

Manakala mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — DayakDaily