Gabungan NGO: Muktamadkan RUU Anti Lompat Parti, bentangkan pada Sidang Khas Parlimen

Parliament of Malaysia crest. - file pic

KUCHING, 4 April: Dengan seramai 39 Ahli Parlimen telah melompat parti sejak 2018 sehingga kini, ia adalah isyarat jelas bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu dimuktamadkan segera.

Menurut satu gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ini akan memastikan para pemain politik mengambil serius tentang isu lompat parti.

“Langkah mengekang wakil rakyat daripada lompat parti perlu dimuktamadkan dan dibentangkan di Dewan Rakyat, ia bagi membendung kegilaan pihak tertentu mengambil kesempatan dalam segenap aspek untuk mencuri dan mengintai peluang mengkucar-kacirkan kerajaan.

“Apa yang telah berlaku selama ini ternyata lebih didorong oleh tawar-menawar bagi menggagalkan kerajaan yang memerintah atau menubuhkan kerajaan yang dihajati.

“Kita semua melihat bagaimana membina dan meruntuhkan kerajaan boleh dilakukan dengan hanya semudah melompat parti atau menarik sokongan,” kata gabungan ini dalam satu kenyataan bersama.

Gabungan tersebut diwakili Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Kongress Kebangsaan Dayak (DNC), Persatuan Iban Sarawak (PAIS), Persatuan Balang Balai Nyabong (BBN), Persatuan Terabai Menua Sarawak, Sarawak Dayak Iban Association Miri (Sadia Miri), Persatuan Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) dan Persatuan Masyarakat Salako dan Rara Sarawak (PERASA).

Tambah mereka, RUU Anti Lompat Parti itu digubal bukan untuk menghalang proses demokrasi dalam kalangan ahli politik sebaliknya untuk mengelakkan kemudaratan kepada negara khususnya dari sudut ekonomi.

“Apa lagi apabila seluruh rakyat Malaysia telah menjadi mangsa pengkhianatan wakil rakyat mereka yang melompat.

“Malah tindakan mereka itu telah mengakibatkan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal menyebabkan Malaysia mengalami ketidakstabilan politik yang memudaratkan ekonomi dan pembangunannya,” kata gabungan tersebut.

Pada 24 Mac 2022, kerajaan telah memberi jaminan akan membentangkan bacaan kali pertama RUU Anti Lompat Parti pada 11 April ini di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tarikh tersebut dipilih setelah berbincang dengan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob bagi menentukan tarikh tetap untuk rang undang-undang itu dibentang.

Menurut beliau juga, dia sempat berbincang dengan Perdana Menteri dan (beliau) bersetuju sidang pada 11 April 2022 diadakan untuk dibahaskan RUU Anti Lompat Parti. — DayakDaily