Fatimah: 301 gelandangan diselamatkan menerusi 113 operasi

Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING, 1 Mac: Sejumlah 301 orang gelandangan telah diselamatkan menerusi 113 operasi bersepadu dan bersasar di antara tahun 2020 hingga Februari 2021.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia melibatkan 83 operasi pada tahun 2020 dan 30 operasi pada tahun 2021 sehingga bulan Februari.

“Antara punca yang menyebabkan mereka menjadi gelandangan adalah masalah keluarga, masalah kesihatan mental, tiada tempat tinggal, ketagihan minuman keras dan ‘substance’ dan dibuang kerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Terdahulu Fatimah telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Isu Gelandangan di Sarawak Bil 1/2021 di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Tambah beliau, daripada 83 siri operasi yang telah dijalankan sepanjang tahun 2020, seramai 237 orang gelandangan telah diselamatkan.

Katanya, ia melibatkan 194 orang lelaki dan 43 orang perempuan di mana Bahagian Kuching mencatatkan jumlah gelandangan tertinggi yang telah diselamatkan iaitu seramai 90 orang.

Ini diikuti Bahagian Bintulu dengan seramai 43 orang dan Bahagian Sibu dengan seramai 41 orang.

Bagi tahun 2021 pula, katanya, daripada 30 operasi yang dijalankan, seramai 64 orang gelandangan telah diselamatkan.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, Bahagian Miri mencatatkan jumlah gelandangan tertinggi yang diselamatkan iaitu seramai 26 orang, diikuti Bahagian Kuching iaitu seramai 19 orang dan Bahagian Sibu iaitu seramai 7 orang,” katanya.

Menurut Fatimah lagi, gelandangan adalah satu daripada 11 isu sosial yang diberi fokus oleh kementeriannya melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak.

Jelas beliau, ia untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh di mana isu gelandangan mampu memberi kesan kepada kesihatan awam, kebersihan bandar dan industri pelancongan. — DayakDaily