Balai Seni Negara bercadang bekerjasama untuk melatih graduan bidang seni tempatan

Mohamad Kadim (tiga dari kiri) dan Mohamed Najib (tiga dari kanan )menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani antara Unimas dan Balai Seni Negara Galeri FSGK di Kampus Unimas, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Jan 30: Balai Seni Negara bercadang bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi menjalankan Program Usahawan Seni Muda yang akan melatih kalangan graduan bidang seni yang gagal mendapat pekerjaan untuk menjadi usahawan seni.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Professor Dato Dr Mohamed Najib Ahmad Dewa berkata pihaknya mencadangkan kerjasama memulakan program itu dengan Unimas bermula di kawasan Kuching dan kemudian kedua-dua pihak juga menubuhkan satu akademi baru untuk menjalankan program terbabit.

“Saya hendak lonjakkannya sehingga (program latihan) untuk memiliki sebuah akademi dan di sinilah (bantuan) kepakaran yang saya mohon dari Unimas dan mungkin satu bentuk program ini turut diadakan di kawasan Kuching dibawah Unimas,” katanya ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Unimas dan Balai Seni Negara di Galeri Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Unimas, Kampus Unimas, di sini, hari ini.

MOU terbabit ditandatanganinya Professor Dato Dr Mohamed Najib Ahmad Dewa mewakili Balai Seni Negara manakala Unimas diwakili Naib Canselor Unimas, Professor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan disaksikan Ketua Kurator Kanan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad dan Dekan FSGK Unimas, Professor Madya Dr Musdi Shanat.

Perjanjian persefahaman itu adalah bagi Unimas dan Balai Seni Negara berkongsi pelbagai isu berkaitan dengan industri seni dan kreatif, mengadakan program latihan bersama disamping dalam penyelidikan, perundingan, penerbitan, persidangan, pengajaran dan pembelajaran.

Mohamed Najib berkata pihaknya mencadangkan kerjasama terbabit dengan Unimas berikutan pelajar bidang kesenian di FSGK Unimas ramai mampu menghasilkan produk seni terutama seni visual yang menarik dan boleh dipasarkan bagi menjana pendapatan kepada mereka selepas tamat pengajian.

Menurutnya, pada ambilan pertama program terbabit, pihaknya hanya mengambil seramai 12 graduan bidang seni yang gagal mendapat pekerjaan bagi dilatih kakitangan Balai Seni Negara menjadi usahawan seni berikutan program itu telah ditolak permohonannya diberikan geran dari kerajaan pusat.

Bagaimanapun program terbabit berjaya membantu graduan ambilan pertama dan keduanya menjadi usahawan seni dan memiliki syarikat seni sendiri baharulah program terbabit telah diluluskan pemberian geran kerajaan pusat sebanyak RM1.5 juta bagi menambah bilangan graduan menyertainya pada ambilan ketiganya tahun ini.

“Malahan ada seorang pelukis dari Sarawak pernah menjadi graduan terbaik (untuk program itu) dengan ketika ini hasil karya seni lukisannya adalah berharga sekitar RM10,000 ke bawah dijual dipasaran,” katanya.

Katanya ini kerana industri seni visual sahaja bernilai RM7.5 trilion di seluruh dunia, tetapi di Malaysia industri itu hanya menyumbang sekitar 0.03 peratus kepada GDP (keluaran dalam negara kasar) negara ini atau bersamaan sekitar RM550 juta.

Selain itu, ramai graduan bidang seni dari universiti sukar mendapat pekerjaan dengan untuk 2015 hampir 34.5 peratus graduan terbabit di seluruh negara ini tidak berjaya mendapat pekerjaan dan meningkat kepada 34.9 peratus pada 2016.

“Ini berkemungkinan graduan terbabit ketika tahun akhir mereka di universiti hanya diberikan latihan bagaimana untuk memohon pekerjaan di pasaran mengunakan kelayakan mereka dan bukan menjadi usahawan seni yang mampu menjual karya seni sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Kadim di majlis tersebut mempelawa Balai Seni Negara membantu Unimas menjalankan projek yang berkaitan pelancongan di Sarawak sepanjang tahun ini.

“Ini kerana bagi projek pelancongan sahaja kita telah dijanjikan dengan geran hampir RM12 juta, ini adalah geran yang besar jumlahnya dan Unimas tidak boleh bersendirian dan perlu rakan yang boleh membantu,” katanya.

Beliau berkata geran lebih banyak juga bakal diterima Unimas tahun ini yang di rangking ke-1,001 di dunia dan rangking pertama di Borneo juga adalah disebabkan kerajaan negeri perlu bantuan universiti itu bagi menjalankan usaha mendigitalkan ekonomi negeri ini. — DayakDaily