Fasa kedua vaksinasi di Miri lancar, 3,510 dos vaksin Covid-19 diterima

Lee ketika melakukan tinjauan di PPV Hospital Miri pada Sabtu (24 April, 2021).

KUCHING, 25 April: Program Imunisasi Kebangsaan Fasa Kedua di Bahagian Miri yang bermula pada Sabtu berjalan lancar.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sebanyak 3,510 dos vaksin Covid-19 diterima bagi fasa kedua di bahagian tersebut.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berpuas hati dengan perjalanan pemberian vaksin Covid-19 yang telah diadakan di Hospital Miri.


“Sebanyak 216 vaksin Covid-19 diberikan kepada golongan warga emas, individu yang mempunyai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Proses pemberian vaksin Covid-19 pada hari pertama bagi fasa kedua yang dikhususkan kepada warga emas, individu yang mempunyai comorbid selain golongan OKU ini berjalan dengan licin, teratur dan cekap,” katanya.

Lee berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan proses pemberian vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Miri semalam.

Hospital Miri adalah merupakan antara tiga PPV yang telah ditetapkan untuk bahagian Miri bagi tujuan pemberian vaksin Covid-19 Fasa 2 selain PPV Dewan Eastwood dan PPV Hospital Marudi.

Dalam pada itu, Lee yang juga Menteri Pengangkutan, berkata Kerajaan Sarawak mensasarkan sebanyak 80 peratus rakyat menerima suntikan vaksin Covid-19.

Justeru beliau menggesa masyarakat untuk segera mendaftar di aplikasi MySejahtera atau atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my.

Manakala, bagi yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet adalah diminta untuk mengemukakan permohonan vaksinasi Covid-19 melalui saluran yang telah ditetapkan.

Katanya, pendaftaran boleh dibuat melalui Pejabat-pejabat Daerah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Kapitan dan Tuai Rumah yang dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi) dan Klinik Kesihatan yang berdekatan. — DayakDaily