Fadillah: Tiga Jawatankuasa Kerja Majlis Khas MA63 bentang laporan minggu depan

Dato Sri Fadillah Yusof

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 10 April : Tiga Jawatankuasa Kerja dibawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan membentangkan laporan serta syor-syor mengenai perkara yang dibincangkan diperingkat jawatankuasa itu mingu hadapan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pembentangan itu akan dilakukan pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Khas Pejanjian Malaysia 1963 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


“Ketiga-tiga jawatankuasa kerja itu sudahpun bermesyuarat dan sekarang ini, minggu depan adalah mensyuarat jawatankuasa induk MA63.

“Tiga jawatanka kerja ini  iaitu Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak, dan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi akan bentangkan syornya dan dari situ kita akan dapat keputusanya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di sini hari ini.

Enggan mendedahkan butiran syor berkenaan, Fadilah berkata semua syor tersebut akan bersangkut paut dengan intipati dokumen perjanjian Malaysia 1963 yang antara lain akan turut membincangkan penggunan istilah Wilayah bagi Sabah dan Sarawak.

Terdahulu ketika sesi taklimat Program Malaysia Prihatin Fadillah berkata, penggunaan istilah ‘Wilayah’ bagi Sabah dan Sarawak adalah bersesuaian dengan perkara yang termaktup dalam Perjanjian Malaysia 1963 iaitu merujuk kepada empat wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia.

“Dalam MA63 memang dinyatakan bahawa kewujudan Malaysia ini adalah keterlibatan empat wilayah iaitu Semenanjung, pada masa itu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, Wilayah Sabah, Wilayah Sarawak dan Singapura.

“Empat buah negara inilah yang bergabung dan membentuk sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia,” katanya.

Fadillah berkata, gelaran Wilayah bagi Sabah dan Sarawak adalah berbeza dengan gelaran yang diberikan kepada Wilayah Persekutuan bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ini kerana terma tersebut hanya wujud selepas pembentukkan Malaysia sebaliknya terma Wilayah yang digunakan oleh Sabah dan Sarawak adalah setaraf dengan Wilayah Semenajung Malaysia.

Membidas dakwaan pembangkang yang menyamakan status Sarawak dan Sabah dengan tiga wilayah persekutuan terbabit, beliau berkata terma Wilayah untuk Sarawak serta Sabah digunakan dalam membentuk dan menubuhkan Persekutuan Malaysia dan bukan diberikan selepas pembentukan persekutuan tersebut.

Justeru tegasnya, terma Wilayah bagi Sarawak serta Sabah adalah lebih besar daripada terma Wilayah Persekutuan yang diberikan kepada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Jadi sebab itu dalam tuntutan kita dibawah MA63, kita mahu status yang sama rata, kedudukan yang sama yang mana dahulu sebelum kita membentuk Malaysia. Oleh yang demikian kita ini diikhtiraf sama taraf dengan Tanah Semenanjung.

“Dalam Perjanjian sebelum ini, Semenanjung diikhtiraf sebagai satu wilayah, Sarawak satu wilayah dan begitu juga Sabah jadi barulah status kita sama seperti yang termaktud dalam perjanjian tersebut,” katanya. — DayakDaily