Lelaki ditahan disyaki mencuri pokok bunga bonsai di Krokop Utama, Miri

Sebilah parang yang turut ditemui bersama suspek.

MIRI, 10 April: Seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun ditahan anggota rondaan Jawatankuasa Penduduk Miri (JKP) sekitar jam 11.11 malam tadi (9 April) kerana disyaki mencuri pokok bunga bonsai yang ditanam di hadapan sebuah bangunan di Krokop Utama di sini.

Susulan kejadian tersebut, seorang pemilik kedai menjual motorsikal di Jalan Jee Foh 1, Krokop Utama kerugian hampir RM200 selepas tiga pokok bunga bonsai yang ditanam di hadapan bangunan premisnya hilang dipercayai dicuri.

Difahamkan, pokok bunga tersebut telah ditanam pengadu di hadapan kedainya.


Suspek berkenaan ditahan anggota rondaan JKP Miri semasa sedang mengorek beberapa pokok bonsai di hadapan kedai tersebut dan seterusnya diserah kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

Turut dirampas sebuah kereta Perodua Kancil milik suspek, sebikah parang dan sadak sawit.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily