Entiti syarikat atau perniagaan tidak dibenarkan anjur skim kutu – SSM

KUCHING, Sept 21: Mana-mana entiti syarikat atau perniagaan tidak dibenarkan sama sekali menganjurkan sebarang aktiviti berbentuk skim wang kutu.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkata perkara tersebut jelas dinyatakan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Kata SSM, akta itu jelas melarang mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 (atau dahulunya Akta Syarikat 1965) atau perniagaan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 menjalankan aktiviti perniagaan berkenaan.

Jika didapati bersalah, penganjur boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali, tegas SSM.

“Bagaimanapun, skim wang kutu tradisional yang biasanya dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan di kalangan jiran tetangga, sahabat handai, saudara-mara atau rakan kerja bagi tujuan mengumpulkan wang mengikut keperluan masing-masing tanpa sebarang keuntungan bagi mana-mana individu, tidak termasuk dalam akta berkenaan.

“Ini kerana skim wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbang mengikut giliran yang ditetapkan,” kata SSM dalam satu kenyataan media hari ini.

SSM juga ingin menegaskan bahawa aktiviti wang kutu yang mendatangkan hasil yang berlipat-ganda berbanding sumbangan yang diberikan termasuk apa-apa pulangan tambahan selain daripada wang sumbangan asal adalah termasuk dalam aktiviti yang dilarang dan tidak terkecuali dari akta tersebut.

Antara tujuan utama akta berkenaan diperkenalkan pada ketika itu adalah untuk memastikan syarikat-syarikat kumpulan wang kutu yang sedia menjalankan aktiviti berkenaan melalui proses penggulungan.

Ini supaya para penyelesai (liquidators) boleh mendapat kembali wang yang tertunggak dari peserta yang telah menerima bahagian wang kutu mereka dan membayar wang yang tertunggak kepada peserta lain yang masih belum menerima bahagian mereka supaya pembahagian yang sempurna dapat dilakukan, kata SSM.

“Selain daripada itu, tujuan akta ini dibentuk adalah untuk menjaga kepentingan orang-orang yang terlibat dalam skim wang kutu tersebut di mana sebilangan besar daripadanya terdiri daripada golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah.

“Ini kerana terdapat banyak kes di mana peserta telah berjaya mendapatkan wang tawaran masing-masing, namun gagal atau tidak membayar balik kepada kumpulan wang yang berkaitan dan ini menjejaskan hak peserta yang lain,” ujar SSM.

SSM menambah, pihaknya sentiasa memantau aktiviti syarikat-syarikat di luar supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang yang ditetapkan.

Suruhanjaya tersebut juga ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan apa-apa penawaran skim pelaburan yang tidak berdaftar bagi mengelakkan sebarang kerugian.

“Untuk menyemak status pendaftaran sebarang skim, sila layari laman sesawang SSM di www.ssm.com.my sekiranya terdapat pertanyaan lanjut.” — DayakDaily