SSM nafi kebocoran data melibatkan entiti perniagaan

File photo for illustration purposes

KUCHING, 29 Sept: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menafikan dakwaan terdapat kebocoran data melibatkan entiti perniagaan di Malaysia seperti dilaporkan beberapa portal hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, SSM berkata telah menjalankan siasatan dalaman dan memberi jaminan bahawa semua maklumat korporat yang diserah simpan kepada agensi adalah selamat dan dilindungi oleh beberapa lapisan teknologi keselamatan maklumat yang diiktiraf.

“SSM akan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan ini.


“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat entiti perniagaan berkaitan syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad untuk berurusan melalui saluran yang diiktiraf,” katanya.

Menurut SSM, saluran adalah www.ssm4u.com.my, www.ssm-einfo.my, dan www.mydata-ssm.com.my.

Selain itu, SSM juga menyediakan maklumat berkaitan entiti-entiti perniagaan di Malaysia yang disahkan benar secara digital melalui portal-portal di atas yang boleh disemak kesahihan maklumat yang diterima melalui applikasi telefon pintar yang disediakan SSM iaitu SSM DCTC QR Code Reader. — DayakDaily