Pergolakan dalaman PKR merugikan kaum Dayak: PBDSB

Bobby William

KUCHING, Sept 21: Pergolakan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya akan merugikan masyarakat Dayak di Sarawak, kata ketua penerangan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Bobby William.

Menurut Bobby, tidak dapat dinafikan bahawa kemelut pemilihan PKR pusat telah merebak ke peringkat akar umbi merujuk kepada kenyataan-kenyataan media yang dikeluarkan beberapa hari lepas.

Perjuangan PKR adalah jelas iaitu, reformasi dan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelapan, katanya.

“Itulah perjuangan PKR. Ini adalah isu nasional. Sekalipun Rafizi Ramli atau Datuk Seri Azmin Ali yang menjadi timbalan presiden parti nanti, pekara ini tidak akan menjadi masalah kepada orang Dayak. Tetapi, kenapa pula orang Dayak berpecah-belah menyokong mereka?,” kata Bobby dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, ini kerana kebanyakan penyokong tegar PKR Sarawak didominasikan oleh kaum Dayak.

Baru-baru ini terdapat desas-desus tidak puas hati dikalangan ahli-ahli parti berkenaan dengan penyertaan Ahli Parliamen Julau Larry Sng dan bapa beliau Datuk Sng Chee Hua ke pangkuan PKR.

Disebabkan penyertaan mereka dalam PKR, segelintir pihak mendakwa bahawa telah wujud dua kem PKR di Sarawak iaitu kem Rafizi bersama Larry dan satu lagi adalah penyokong Azmin.

Bobby mengingatkan ‘sahabat’ dalam PKR bahawa Chee Hua adalah watak utama dalam keretakan PBDSB dahulu.

“Adakah anda mahu pekara ini berulang lagi?. Dan yang pelik nya, kenapa Anwar seakan-akan pro Larry dan mengetepikan suara-suara akar umbi?

“Adakah Larry, yang baru sahaja menyertai PKR, lebih berpengaruh daripada saudara Baru Bian? Dalam pergolakan sedemikian, apakah nasib penyokong Dayak dalam PKR?”, tanya beliau.

Oleh yang demikian, Bobby menyarankan golongan masyarakat Dayak dalam PKR supaya berfikir sedalam-dalamnya kerana mungkinan besar ia akan mengubah landskap politik Sarawak pada masa yang akan datang.

“Mereka kena ingat, PBDSB adalah satu-satunya parti yang memperjuangankan nasib kaum Dayak di Malaysia. Suara Dayak, perahu Dayak, inilah platform politik kita,” seru beliau.

Mengulas mengenai desas desus penubuhan parti Dayak dan parti tempatan yang lain, Bobby berkata pekara itu hanyalah gurauan politik.

“Kenapa perlu adanya platform lain sekiranya perjuangan adalah sama, iaitu memperjuangankan Dayak dan juga Sarawak? Apa yang saya lihat, kewujudan parti-parti baru ini hanya akan memecah-belahkan undi rakyat Sarawak. Sekiranya perjuangan mereka untuk masyarakat Dayak mereka boleh menyertai PBDSB dan Sarawak Baru untuk membela nasib Sarawak.

“Sarawak Baru adalah berbeza dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana GPS adalah bayangan Barisan Nasional (BN) yang sudah berkubur di Sarawak.

“Kewujudan parti-parti baru adalah untuk mereka yang ‘kena buang daerah’ dan untuk menjadikan mereka yang bermotif untuk manjadi calon-calon pilihanraya negeri yang akan datang. Semua mereka ini cuma hendak menjadi ketua sahaja. Itulah tiada prinsip berkaloborasi namanya,” tambah Bobby. — DayakDaily