Enam NGO gesa KPM beri keutamaan kepada graduan Sarawak

(Dari kiri atas, ikut pusingan jam) Elias, Edward, Paul, John, Wilfred, Rafael dan Samuel.

KUCHING, 22 Jun: Enam persatuan bukan kerajaan (NGO) Sarawak menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi keutamaan kepada graduan Sarawak di bawah pengambilan khas guru secara ‘one-off’.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kesemua pemimpin NGO tersebut juga memohon mereka(graduan Sarawak) yang berjaya ditempatkan di negeri ini.

“Merekalah yang akan kembali ke pangkuan masyarakat untuk mendidik anak tempatan.


“Tanpa menafikan perlunya guru dari Semenanjung bagi tujuan integrasi nasional dan atas keperluan yang tidak dapat dielakkan bagi bidang tertentu, ia akan membantu dari segi penempatan guru ke seluruh kawasan di Sarawak.

“Warga tempatan yang berkhidmat dalam profesion perguruan lebih faham akan masalah, isu dan aspirasi masyarakat mereka,”menurut kenyataan itu.

Enam NGO tersebut ialah Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) yang diwakili presiden Elias Lipi Mat dan timbalannya Edward Awan, Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) diwakili Paul Raja sebagai presiden, Samuel Suring sebagai presiden Persatuan Iban Sarawak (PAIS).

Tiga yang lain ialah Setiausaha Persatuan SADIA (Miri) Rafael Dru, Presiden Persatuan Terabai Menua Sarawak Wilfred Nissem dan Setiausaha Agung Persatuan Balang Balai Nyabung (BBN) Dr John Brian.

Kenyataan itu juga menggesa supaya sasaran kerajaan Sarawak untuk mencapai jumlah 90 peratus guru tempatan yang mengajar di negeri ini harus direalisasikan.

Katanya, ia dengan meletakan keutamaan kepada peningkatan pengambilan guru dengan syarat keutamaan warga tempatan Sarawak untuk pengambilan khas seramai 18,702 yang akan dilaksanakan.

“Pelan tindakan untuk mencapai nisbah 90 peratus guru Sarawak dan nisbah 10 peratus guru Semenanjung atau Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dilihat berada pada landasan yang tepat.

“Ini sekiranya dasar-dasar dan polisi pengambilan guru itu menitikberatkan dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak sendiri,” ujar mereka.

Para pemimpin NGO ini yakin pengambilan khas guru itu nanti akan memberi peluang kepada graduan di negeri ini yang masih belum mendapat pekerjaan. — DayakDaily