Sarawak perlukan lebih 3,000 guru

Datuk Dr Annuar Rapaee

KUCHING, 18 Okt: Sarawak memerlukan lebih 3,000 guru, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Dr Annuar berkata, ia bagi menampung jumlah guru yang bersara dan yang dipindahkan ke negeri lain.

Katanya, usaha menangani masalah kekurangan guru telah dilakukan ke arah yang betul dengan pengambilan kira-kira 9,500 guru tambahan pada November ini.


“Sarawak perlu diberikan keutamaan dalam penempatan guru.

“Sekiranya kita diberi setengah daripada jumlah tersebut maka selesailah masalah kekurangan guru di negeri ini.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Hikmah Islamic Technology College Dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Institut Kemahiran Darul Ridzuan di Wisma Hamizan, Kuching pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu tegas berhubung penempatan guru termasuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak mengendahkan garis panduan penempatan.

“Isu kekurangan guru di Sarawak bukan perkara baharu malah ia sudah berlarutan sekian lama.

“Sarawak perlu diberi keutamaan dalam aspek penempatan guru-guru baharu dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru yang agak serius di negeri itu,” tegasnya lagi. — DayakDaily