Awang Tengah: 195,000 pekerjaan diwujudkan menjelang 2030

Awang Tengah (empat dari kanan) mengimbas tapak tangan simbolik perasmian Konvensyen Graduan Melayu Sarawak 2022.
Advertisement

KUCHING, 24 Ogos: Sarawak menyasarkan sebanyak 195,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Katanya, ia dapat dijana melalui pelan komprehesif Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang telah pun dibentangkan.

“Selain itu, pendapatan negeri juga bakal meningkat dari RM136 billion pada tahun 2019 kepada RM282 billion pada tahun 2030.

Advertisement

“Kedua-dua matlamat ini sudah memberi gambaran kepada kita bahawa Kerajaan Sarawak bukan sahaja sangat serius kepada pembangunan modal insan malah menarik graduan untuk sama-sama membantu negeri Sarawak.

“Ini termasuk menghasilkan peluang pekerjaan kepada para graduan lain untuk sama-sama membantu Sarawak mencapai negeri maju pada tahun 2030 terutama sekali dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Perasmian Konvensyen Graduan Melayu Sarawak (KGMS) 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Justeru, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan menyeru kepada para graduan Melayu bersedia untuk merebut peluang yang telah diusahakan oleh Kerajaan.

Katanya, ia penting dalam menuju aspirasi Sarawak Maju pada tahun 2030.

“Di bawah PCDS 2030), banyak strategi dalam pelbagai bidang digariskan bagi membina semula pembangunan ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, kini para graduan tidak lagi hanya mengharapkan pekerjaan bergaji.

Malah, ramai yang berupaya untuk melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial. —DayakDaily

Advertisement