Enam lelaki dan seorang wanita Indonesia ditahan terlibat dadah

Gambar komposit menunjukkan lokasi serbuan, serta suspek dan dadah yang dirampas.

BINTULU, Julai 23: Enam lelaki dan seorang wanita yang sedang khayal ‘menikmati’ dan ‘melayani’ dadah dicekup polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Abang Galau di sini.

Kesemua suspek warga Indonesia yang berusia antara 20 hingga 32 tahun itu ditahan polis pada pukul 1.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, serbuan yang dilakukan itu merupakan hasil maklumat orang dan risikan polis yang dilakukan sebelum ini.


“Semasa serbuan itu, kesemua individu tersebut sedang leka dan tidak sedar kehadiran pihak polis.

“Hasil pemeriksaan badan ke atas seorang lelaki telah menjumpai tiga keratan tiub penyedut yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 0.85gram di dalam poket hadapan sebelah kiri yang dipakainya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, pemeriksaan lanjut di rumah itu telah menjumpai satu paket pastik lutsinar mengandungi empat paket plastik berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 11.70 gram.

Katanya, pemeriksaan di ruang tamu rumah tersebut turut menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi 21 keratan straw pelbagai saiz berwarna hijau muda berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 10.07gram.

“Polis turut menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi 25 keratan straw pelbagai saiz berwarna kekuningan berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 11.45gram.

“Nilai keseluruhan emua dadah yang dirampas itu adalah sebanyak RM4,500,” katanya.

Tambah Sahar, ujian air kencing yang dilakukan ke atas semua suspek mendapati lima daripada tujuh termasuk wanita berkenaan positif dadah.

Katanya, semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily