Penduduk Betong gempar kejadian kebakaran libatkan empat kedai

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran di Pasar Lama Betong.

BETONG, Julai 23: Masyarakat setempat di bahagian ini gempar dengan satu kejadian kebakaran melibatkan empat buah kedai di Pasar Lama Betong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, dua buah kedai musnah terbakar 100 peratus, manakala dua buah lagi masing-masing terbakar kira-kira 90 dan 80 peratus.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.47 pagi.


Jelasnya, sejurus menerima maklumat mengenai kebakaran itu, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bersama jentera pemadam telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran di Pasar Lama Betong.

“Sepasukan lapan anggota bomba dari BBP Saratok juga diarahkan ke tempat kejadian bagi membantu operasi memadam kebakaran itu.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar bangunan kedai dua tingkat berstruktur jenis separuh kekal di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran di Pasar Lama Betong.

Tiong menambah, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penghuni kedai tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal kebakaran berkenaan.

“Tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya lagi. — DayakDaily