Empat ditahan cuba seludup barangan kawalan bersubsidi di Kota Samarahan


KUCHING, 14 Okt: Empat suspek berumur lingkungan 18 hingga 35 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak semalam selepas didapati memiliki barangan kawalan tanpa lesen yang sah.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, kesemua suspek yang ditahan sekitar jam 10 pagi itu hasil daripada pemantauan dan operasi yang dilakukan PPM di sekitar Kota Samarahan.

“Pemeriksaan yang dilaksanakan PPM mendapati dua buah kenderaan yang digunakan suspek terbabit iaitu sebuah lori dan sebuah kenderaan jenis ‘pick-up’ mendapati ia membawa muatan kira-kira 1,400.91 liter bahan api disyaki minyak diesel dalam 40 ‘jerrycan’.”


Semua suspek terlibat turut gagal menunjukkan bukti kebenaran atau dokumen berkaitan muatan bahan api tersebut apabila diminta untuk berbuat demikian sekali gus mendorong anggota PPM terbabit menyita kesemua barangan kawalan itu berserta kenderaan yang digunakan oleh suspek bagi mengangkut barangan tersebut.

Wakil daripada PPM Wilayah Lima menyerahkan barang bawalan bersubsidi dan kenderaan yang disita oleh pasukan tersebut dalam satu operasi di sekitar Kota Samarahan kepada wakil daripada KPDNHEP Sarawak di Kuching untuk tindakan lanjut.
Wakil daripada PPM Wilayah Lima menyerahkan barang bawalan bersubsidi dan kenderaan yang disita oleh pasukan tersebut dalam satu operasi di sekitar Kota Samarahan kepada wakil daripada KPDNHEP Sarawak di Kuching untuk tindakan lanjut.

“Bahan api yang disita dalam operasi tersebut bernilai kira-kira RM2,455.05, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk dua buah kenderaan yang digunakan oleh suspek adalah dianggarkan berjumlah RM RM17,455.05,” menurut kenyataan itu.

Kesemua suspek terlibat diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut dan kes tersebut disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDNHEP dalam pada itu turut menegaskan akan sentiasa menjalankan pemantauan, pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas dari semasa ke semasa bagi menangani ketirisan serta penyelewengan barang kawalan bersubsidi. — DayakDaily