Dua mangsa terbaharu berhubung kes diliwat guru buat laporan polis

Royal Malaysia Police logo

LAWAS, Mei 23: Dua lagi laporan polis diterima daripada dua mangsa terbaharu berhubung kes seorang guru lelaki yang ditahan selepas disyaki mencabul dan meliwat lima murid di sebuah sekolah rendah sejak 2016.

Ketua Polis Daerah Lawas, Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua mangsa telah diperlakukan secara seksual oleh suspek yang sama sekitar 2015.

Jelasnya, kedua-dua mangsa telah dicabul kehormatan oleh suspek berkenaan.


“Ketika kejadian, kedua mangsa masih bersekolah di sekolah rendah. Satu kertas siasatan akan oleh IPD Lawas di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Manakala, satu kes akan diserahkan kepada IPD Kota Kinabalu atas kesalahan yang sama kerana kejadian terhadap mangsa dilakukan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah,” katanya kepada DayakDaily semalam.

Abang Zainal Abidin menambah, polis akan memohon perintah reman dilanjutkan ke atas suspek untuk siasatan lanjut ke atas kes berkenaan.

Tegansya, polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur hasutan.

“Orang ramai diminta tampil membantu siasatan jika mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis,” katanya.

DayakDaily sebelum ini melaporkan empat kertas siasatan akan dibuka berhubung kes seorang guru lelaki yang ditahan selepas disyaki mencabul dan meliwat lima murid di sebuah sekolah rendah sejak 2016.

Suspek yang berusia 31 tahun itu kini masih lagi ditahan eeman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Sebelum ini, suspek yang berasal dari Johor telah diberkas sepasukan anggota polis di Kota Kinabalu, Sabah pada 18 Mei lalu.

Difahamkan, perbuatan durjana suspek yang disyaki mencabul dan meliwat muridnya berlaku sejak 2016. — DayakDaily