Dua lelaki patah tangan akibat terjatuh semasa mengecat menara masjid

Anggota bomba melakukan operasi menyelamat mangsa.

Oleh Dean Adam

MIRI, Julai 11: Dua lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja mengecat menara di sebuah masjid di Bekenu patah tangan selepas terjatuh dari masjid berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berusia 54 dan 48 tahun tersebut patah tangan kiri.

Difahamkan, kedua-dua mangsa terjatuh akibat tali yang mereka guna semasa kerja mengecat terputus.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.44 pagi.

Katanya, sejurus itu sepasukan lapan anggota bomba dari BBP Miri bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Lokasi mangsa terjatuh semasa mengecat menara masjid.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati terdapat dua mangsa yang terjatuh dan mengalami kecederaan.

“Setelah ‘size up’ dilakukan berkonsepkan ‘saver’, operasi menyelamat menurunkan mangsa dilakukan dengan menggunakan tali, tangga dan body harness yang dipasang pada mangsa.

“Pasukan Bomba hanya melakukan penyelamatan seorang mangsa sahaja yang masih terperangkap di tingkat atas bangunan masjid.

“Manakala seorang mangsa lagi telah berjaya diselamatkan oleh orang awam,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, kedua dua mangsa kemudian diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada petugas Klinik Kesihatan Bekenu untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat pada pukul 12.12 tengah hari,” ujarnya. — DayakDaily